Pemuda UMNO Terus Kuat, Bukan Sekadar Pelapis Malah Pelaksana – Sollehin
KUALA LUMPUR,30 Mei – Pemuda UMNO akan terus memperkasakan peranan golongan berkenaan khususnya membantu suara-suara anak muda untuk diangkat demi kepentingan golongan terbabit.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata itulah antara yang dibincangkan selain beberapa perkara lain yang menjadi tumpuan pergerakan berkenaan dan semua pihak perlu berganding bahu bagi menjayakannya.
“Semalam saya berpeluang menghadiri Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang dipimpin Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh. Perbincangan berlangsung penuh semangat, telus dan padat dengan idea untuk terus memperkasakan peranan Pemuda di seluruh pelusuk negara.
“Insya-Allah, kami akan terus memainkan peranan sebagai sebahagian daripada pasukan ini untuk menyumbang tenaga dan buah fikiran demi memastikan suara anak muda terus diangkat dan dibela,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau seterusnya mengharapkan seluruh pasukan Pemuda UMNO di pelbagai peringkat dapat merealisasikan hasrat anak-anak muda seiring dengan tumpuan pergerakan berkenaan.
Tambah beliau inilah hasrat dan inilah impian Pemuda UMNO untuk menjadi suara dan telinga kepada golongan muda selain memastikan pergerakan itu bergerak terus ke depan dengan sebaiknya.
“Terima kasih Ketua Pemuda dan seluruh sahabat Exco atas kesungguhan dan komitmen berterusan. Ayuh, kita terus maju ke depan…kita bukan sekadar pelapis, kita pendesak dan pelaksana,” ujarnya. – UMNO Online