Malaysia-Qatar Setuju Meterai Persefahaman Dalam Bidang Perundangan – Azalina

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Malaysia dan Qatar bersetuju untuk memeterai satu persefahaman di tahap lebih tinggi khususnya dalam bidang perundangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan satu perbincangan dua hala telah diadakan bersama Menteri Perundangan Qatar, YT Ibrahim bin Ali bin Issa Al Hassan Al Mohannadi pada Khamis.

“Usai sesi plenary, di sela-sela masa yang terluang sewaktu menghadiri Forum Perundangan Tashkent, pada sebelah petangnya saya telah mengadakan perbincangan dua hala bersama rakan sejawat saya dari Qatar, TYT Ibrahim bin Ali bin Issa Al Hassan Al Mohannadi.

“Perbincangan tertumpu kepada kerjasama di antara Malaysia dan Qatar dalam bidang perundangan serta komitmen kedua negara untuk meningkatkan hubungan erat sedia ada ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, terdapat pelbagai bidang yang ingin diterokai oleh kedua-dua negara dari sudut perundangan termasuklah pembinaan kapasiti dan latihan dalam bidang perundangan yang memfokuskan kepada digitalisasi serta penggunaan kecerdasan buatan (AI).

“Antara bidang kerjasama yang sama-sama ingin diterokai kedua negara termasuklah pembinaan kapasiti dan latihan dalam bidang perundangan yang memfokuskan kepada digitalisasi dan penggunaan AI, timbang tara sebagai penyelesaian pertikaian alternatif, insolvensi rentas sempadan serta inisiatif memerangi rasuah.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memetrai satu persefahaman di tahap yang lebih tinggi bagi merealisasikan hasil perbincangan ini kelak.

“Sebelum itu, saya telah menerima kunjungan hormat daripada Tatyana Teplova, ‘Head of Division, Senior Councellor, Global Partnership, Inclusion and Justice’. Perbincangan tertumpu kepada bentuk kerjasama yang ingin diterokai oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dengan Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79