Kerjasama Pertahanan Pelbagai Negara Penting, Pastikan Rantau Indo-Pasifik Kekal Aman
KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kerjasama pertahanan pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat cukup penting untuk memastikan rantau Indo-Pasifik kekal aman, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan satu pertemuan bersama Commander of United States Indo-Pacific Command, Admiral Samuel J. Paparo telah diadakan pada Khamis.
“Kepentingan strategik rantau Indo-Pasifik membawa kepada pertemuan saya bersama Admiral Samuel J. Paparo, Commander of United States Indo-Pacific Command di Wisma Pertahanan.
“Beliau kini berada di Malaysia untuk lawatan dua hari dan turut dijadualkan untuk mengadakan pertemuan serta kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hubungan dan kerjasama pelbagai negara, termasuklah bersama Amerika Syarikat cukup penting untuk memastikan rantau Indo-Pasifik kekal aman, stabil serta selamat,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua buah negara komited untuk memperkukuh kerjasama keselamatan dan perkongsian maklumat melalui latihan serta eksesais ketenteraan bersama.
“Kedua-dua buah negara komited meningkatkan keberkesanan usaha-usaha dalam kerjasama keselamatan dan perkongsian maklumat serta pembinaan kapasiti, melalui lebih banyak peluang latihan serta eksesais ketenteraan bersama.
“Malaysia merakamkan penghargaan kepada Amerika Syarikat kerana membantu menjayakan penganjuran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa (LIMA’25) baru-baru ini melalui penglibatan beberapa aset utama miliknya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Amerika Syarikat telah menyatakan komitmen untuk terus menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam konteks pertahanan.
“Amerika Syarikat telah menyatakan komitmen untuk terus menyokong Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, dan dalam konteks pertahanan akan menyokong segala inisiatif Malaysia melalui platform ADMM-Plus.
“Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan,” katanya lagi. – UMNO Online