Kerajaan Komited Pastikan Rakyat Sarawak Nikmati Kemudahan Asas Menyeluruh – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kerajaan komited untuk memastikan rakyat Sarawak khususnya di luar bandar dapat menikmati kemudahan asas secara menyeluruh dan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Program dan Projek Pembangunan di Sarawak.
“Hari ini saya berada di bumi Sarawak untuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Program dan Projek Pembangunan di negeri ini.
“Mesyuarat ini diadakan sebagai susulan kepada lawatan kerja Perdana Menteri ke Kuching pada 19 April lalu, bertujuan menyelaras pelaksanaan projek-projek luar bandar agar lebih teratur dan berimpak tinggi.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM3.2 bilion kepada Sarawak yang melibatkan 403 projek pembangunan, dengan nilai keseluruhan mencecah RM21.73 bilion. Daripada jumlah itu, sebanyak 178 projek masih berada pada fasa pra-pelaksanaan, manakala 91 daripadanya dijadualkan menerima Surat Setuju Terima (SST) selewat-lewatnya penghujung tahun 2025,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Presiden UMNO memandang serius isu lima Projek yang mengalami kelewatan pelaksanaan akibat pelbagai faktor.
“Saya turut memandang serius mengenai isu lima projek yang mengalami kelewatan pelaksanaan akibat masalah tapak, faktor cuaca dan pertindihan jajaran utiliti.
“KKDW juga prihatin terhadap insiden tanah runtuh di Miri pada Januari lalu yang telah menjejaskan 277 penduduk. Tindakan segera dan bersepadu sedang dilaksanakan demi menjamin keselamatan dan kebajikan mereka.
“Kerajaan komited memastikan rakyat Sarawak, khususnya di luar bandar, menikmati kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik secara menyeluruh serta berterusan.
“Pendekatan strategik seperti mesyuarat khas ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memperkukuh kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, demi menjayakan agenda pembangunan inklusif dan seimbang untuk semua,” katanya lagi. – UMNO Online