HAWANA: Ahmad Zahid Puji Peranan Wartawan Sebagai Benteng Integriti Negara

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para wartawan tanah air sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) semalam, sambil menzahirkan rasa hormat terhadap pengorbanan dan komitmen tinggi golongan itu dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan beretika.

Dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, beliau menyifatkan wartawan sebagai individu yang menulis dengan keberanian dan jiwa penuh tanggungjawab, biarpun dalam landskap digital yang semakin mencabar dan dipenuhi maklumat yang bercampur-aduk.

“Para wartawan terus berdiri sebagai benteng integriti dan pencorak naratif kebangsaan yang diyakini,” katanya.
Menurut beliau, ramai kenalan rapatnya merupakan wartawan, dan beliau mengakui mengagumi prinsip serta ketekunan yang ditunjukkan oleh mereka dalam menjalankan tugas.

“Saya menghormati ketekunan mereka, mengagumi prinsip mereka, dan mengiktiraf pengorbanan mereka yang sering tidak kelihatan di balik tajuk dan layar berita,” katanya lagi.

Ahmad Zahid turut menyeru agar para wartawan terus menghasilkan karya yang membina, serta memainkan peranan menyinari negara dengan pena yang jujur dan adil.

“Semoga dunia kewartawanan kita terus dirahmati dengan kebijaksanaan dan ketelusan,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79