“Daddy MARA” Jadi Sasaran Politik Kebencian Pembangkang
PADANG BESAR, 30 Mei – Keprihatinan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam memartabatkan pendidikan Bumiputera dilihat menjadi sasaran serangan politik bermotifkan kebencian oleh pihak tertentu, khususnya daripada kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Menurut Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais, pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh Dr Asyraf sejak dilantik memimpin MARA telah memberi impak besar kepada golongan pelajar dan ibu bapa, Malah, beliau kini dikenali dengan gelaran “Daddy MARA” oleh pelajar-pelajar institusi pendidikan MARA seperti MRSM, IKM dan UniKL,
“Gelaran ‘Daddy MARA’ ini lahir daripada rasa kasih dan hormat pelajar kepada beliau yang sentiasa hadir dengan penyelesaian, bukan sekadar lawatan. Beliau sering menyelesaikan isu kerosakan, menambah baik infrastruktur serta menyuntik semangat kepada pelajar,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Dilaporkan bahawa Dr Asyraf turut mencatat kejayaan besar apabila berjaya merundingkan pengurangan yuran pengajian pelajar tajaan MARA di Universiti Al-Azhar, Mesir – daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000.
Tegas Ruzaini, ini adalah suatu pencapaian yang mendapat pujian pelbagai pihak.
“Pelbagai kejayaan oleh institusi pendidikan MARA termasuk menempatkan kembali keputusan SPM dalam kelompok sekolah-sekolah cemerlang menunjukkan peranan yang dimainkan oleh Dr Asyraf berada dalam kedudukan yang amat tepat.
“Ini memberi banyak kebaikan kepada pelajar-pelajar Melayu/Bumiputera/Islam.”
Namun, menurut Ruzaini, kejayaan demi kejayaan ini dilihat tidak disenangi oleh sesetengah pihak.
“Sayangnya, pemimpin-pemimpin PN lebih cenderung mencari kelemahan walaupun banyak manfaat telah diberikan kepada rakyat. Bagi mereka, kejayaan Dr Asyraf ini memberi kelebihan kepada UMNO dan kerajaan perpaduan iaitu sesuatu yang dianggap tidak menguntungkan PN,” katanya.
Beliau mendakwa bahawa tindakan menyerang peribadi Dr Asyraf hanyalah cerminan kepada rasa iri hati dan kebimbangan politik.
“Karakter Dr Asyraf perlu dibunuh kerana populariti beliau tidak boleh dibiarkan. Inilah taraf politik kebencian mereka iaitu lebih mementingkan kepentingan politik daripada kesejahteraan rakyat.”
Dalam hal ini, Ruzaini menyeru semua pihak khususnya masyarakat Melayu/Islam untuk menghargai dan menyokong usaha yang dilaksanakan oleh pemimpin seperti Dr Asyraf yang dilihat benar-benar bekerja demi pendidikan dan masa depan generasi Bumiputera. – UMNO Online