Cukup-cukuplah Jadikan MARA Mangsa Politik Kebencian – Syed Mohd Johan Rizal
ALOR SETAR, 30 Mei – Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mengingatkan semua pihak untuk tidak menjadikan institusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai mangsa politik kebencian.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar menerusi satu kenyataan di sini, hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang cuba untuk menjadikan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebagai sasaran serangan politik murahan.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya cubaan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjadikan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebagai sasaran serangan politik murahan kononnya atas isu kelewatan pinjaman pelajaran, bantuan Program Penajaan Pengajian Tertiatri (TESP) dan pelaksanaan dasar pendidikan Bumiputera.
“Ini bukan kritikan berasaskan fakta, tetapi tuduhan liar yang tidak lain hanyalah cubaan jahat untuk merosakkan reputasi beliau dan institusi keramat milik Bumiputera ini,” katanya.
Ujarnya, institusi MARA telah diperkasa sebaiknya sejak ia dipimpin oleh Dr Asyraf dari pelbagai sudut dan usaha tersebut sedang cuba dipatahkan oleh persepsi yang dicipta pihak lawan.
“Sejak menerajui MARA, Dr Asyraf bukan hanya bekerja keras merombak sistem sedia ada, malah beliau turun padang, mengesan kelemahan dan memulakan pembaharuan berani dalam pendidikan TVET, keusahawanan serta dasar pelajar luar negara. Beliau tidak menyalahkan sesiapa, tidak bermain wayang, sebaliknya memilih untuk berhadapan dengan cabaran secara berani dan terbuka.
“Apa yang lebih menyakitkan hati apabila usaha ikhlas ini sedang cuba dipatahkan oleh gerombolan politik persepsi yang hanya tahu ‘menyalak’ di media sosial, tanpa asas dan fakta.
“Apabila tindakan undang-undang diambil, itu bukan tanda lemah atau takut kepada kritikan. Itu tanda bahawa MARA tidak akan tunduk kepada pembohongan, fitnah dan permainan politik yang cuba mengheret institusi ini ke kancah persepsi merosakkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa institusi MARA perlu terus dipertahankan dan budaya menabur tohmahan tanpa bukti tidak boleh dibiarkan menjadi norma masyarakat.
“MARA bukan medan eksperimen politik. Ini institusi rakyat. Institusi masa depan anak-anak bumiputera. Mereka yang cuba mencemar nama baik MARA dan menyerang kepimpinannya tanpa asas harus bertanggungjawab serta bersedia menghadapi tindakan tegas. Kita tidak boleh biarkan budaya menabur tohmahan tanpa bukti menjadi norma dalam masyarakat kita.
“Saya tegaskan, mempertahankan MARA bukan soal individu, tetapi soal mempertahankan maruah dan masa depan bangsa. Kita tidak boleh berdiam diri apabila institusi amanah rakyat dijadikan bahan serangan politik sempit. Jika kita sayangkan MARA, kita mesti berani bangkit menolak fitnah dan berdiri bersama kepimpinan yang komited membawa perubahan.
“Cukuplah menjadikan MARA mangsa politik kebencian. Hari ini kita pertahan, agar esok anak-anak kita masih punya tempat berlindung dalam sistem pendidikan dan pembangunan yang adil untuk Bumiputera,” katanya lagi. – UMNO Online