Wanita UMNO Sabah Terus Perkasa Sentuhan Kasih, Dekati Rakyat
KOTA KINABALU, 29 Mei – Wanita UMNO Sabah terus mengorak langkah mendekati masyarakat akar umbi menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan, selari dengan pendekatan “turun padang” yang menjadi teras perjuangan parti.
Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, menerusi program Sentuhan Kasih dan Ziarah Kasih, jentera Wanita telah turun padang menyantuni rakyat di pelbagai pelusuk negeri, bukan sekadar menyampaikan sumbangan, malah mendengar sendiri rintihan dan keperluan masyarakat.
“Program kami bukan sekadar menyerahkan bantuan kepada golongan memerlukan, tetapi kami juga menjalin interaksi secara langsung dengan rakyat.
“Kami menyelami suara hati, ingin tahu sendiri masalah mereka, mendengar keluhan mereka dan mencari jalan penyelesaian bersama agar keselesaan dan kesejahteraan dapat dicapai,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Noraini, Wanita UMNO Sabah memainkan peranan penting sebagai ‘mata, telinga dan nadi rakyat’ dalam mengenal pasti isu dan permasalahan di peringkat akar umbi.
“Kami adalah penyambung suara rakyat. Apa yang kami lihat dan dengar di bawah akan dibawa ke atas untuk perhatian dan tindakan sewajarnya oleh pimpinan tertinggi parti dan kerajaan,” tegas beliau.
Ujarnya, Program Sentuhan Kasih dan Ziarah Kasih yang digerakkan secara berterusan ini telah sebati dengan Wanita UMNO yang dilaksana bukan hanya untuk memperkukuh sokongan rakyat tetapi reality parti yang sebenar.
“Ini bukan kerja baharu atau muncul apabila menjelang pilihan raya tetapi ia adalah aktiviti yang semamangnya menjadi wadah kepada rakyat agar beban yang mereka rasai dapat didengar dan dibantu.”
Tambahnya, pendekatan mendekati rakyat secara konsisten ini merupakan bukti komitmen Wanita UMNO dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, sekaligus memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti menghadapi PRN.
“Bukan masa untuk retorik. Inilah masanya kita bekerja, berkhidmat dan menunjukkan hasil kepada rakyat Sabah,” ujar beliau lagi. – UMNO Online