SUKNES 2025: Lapan Jenis Sukan Dipertanding, Tarik 262 Penyertaan – Mustapha

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Sebanyak lapan jenis sukan akan dipertandingkan sempena Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) 2025 yang telah berjaya menarik 262 berbanding 128 penyertaan tahun lalu.

Exco Pembangunan Belia Dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor memaklumkan bahawa SUKNES 2025 bakal berlangsung dari 30 Mei sehingga 1 Jun 2025 di Centre Court, Paroi.

“Negeri Sembilan sekali lagi melakar sejarah dengan penganjuran SUKNES 2025 yang akan berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun 2025 bertempat di Centre Court, Paroi. Kejohanan ini merupakan acara sukan tahunan paling berprestij di peringkat negeri, menghimpunkan penyertaan atlet dari seluruh 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“SUKNES 2025 bukan sekadar gelanggang persaingan, malah medan strategik mencungkil bakat baharu dan memperkukuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Sebanyak lapan jenis sukan akan dipertandingkan iaitu futsal, sepak takraw, bola jaring, badminton… termasuk empat sukan baharu seperti bola tampar, snuker, ping-pong dan e-sport, menandakan keterbukaan kerajaan negeri terhadap evolusi sukan semasa serta minat generasi muda,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga ADUN Palong berkata, lonjakan penyertaan untuk semua acara yang dipertandingkan mencerminkan komitmen tinggi semua pihak dalam menjayakan agenda sukan Negeri Sembilan.

“Tahun ini, penyertaan meningkat kepada 262 penyertaan daripada 288 acara yang dipertandingkan, berbanding 128 penyertaan pada tahun lalu. Lonjakan ini mencerminkan komitmen tinggi semua pihak termasuk pemimpin tempatan, jurulatih dan komuniti dalam mendukung agenda sukan Negeri Sembilan.

“SUKNES 2025 juga menjadi asas penting persediaan menjelang Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor. Sehubungan itu, langkah-langkah penstrukturan semula telah dimulakan termasuk sesi libat urus bersama persatuan sukan dan pelantikan pentadbir sementara untuk persatuan bermasalah. Ini bagi memastikan fokus dan kebajikan atlet kekal terpelihara.

“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan atas sokongan menerusi peruntukan RM1 juta untuk tujuan penganjuran Sukan Negeri Sembilan termasuk semua ADUN, jabatan kerajaan, jurulatih, pegawai kejohanan, sukarelawan dan rakan media yang bersama menjayakan SUKNES 2025. Kejohanan ini turut memberi inspirasi kepada pembangunan fasiliti sukan di desa, kampung dan komuniti setempat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Negeri Sembilan berpotensi besar untuk mencipta lebih ramai juara bertaraf dunia dalam bidang sukan dengan sokongan daripada semua pihak.

“Akhir kata, marilah kita bersama-sama meraikan semangat kesukanan dalam suasana harmoni dan perpaduan yang kukuh. SUKNES merupakan platform utama untuk melahirkan atlet berkaliber tinggi seperti Goh Sze Fei, anak muda dari
Tampin yang kini mengungguli ranking pertama dunia dalam acara beregu badminton.

“Negeri Sembilan berpotensi besar untuk mencipta lebih ramai juara bertaraf dunia dengan peluang dan sokongan padu daripada semua pihak. Marilah kita berganding bahu memastikan negeri ini terus melangkah ke hadapan sebagai kuasa sukan yang disegani, demi kemajuan dan kebanggaan rakyat serta negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79