Perkukuh UMNO, Hadapi Hakikat Dan Semai Harapan Masa Depan – Saiful Adli
KUALA LUMPUR, 29 Mei – UMNO kini berada dalam fasa penting untuk memperkukuh kembali asas perjuangan dan menyemarakkan semangat ahli-ahlinya menjelang mesyuarat bahagian, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, Nik Saiful Adli Burhan.
Jelas beliau, walaupun suasana mesyuarat cawangan berbeza dengan dahulu namun kelancaran dan kehadiran ahli yang setia menjadi bukti bahawa kekuatan sebenar UMNO masih utuh.
“Walaupun mesyuarat cawangan tidak lagi seperti dahulu namun kehadiran mereka yang masih setia adalah petanda kekuatan sebenar parti ini. Ahli-ahli UMNO yang hadir bukan kerana imbuhan atau kepentingan peribadi yang sempit, tetapi kerana jati diri perjuangan Melayu, agama dan negara.
“Inilah masanya untuk kita melihat dengan jujur bahawa UMNO sedang melalui satu proses penyucian. Mereka yang tidak ikhlas, yang hanya menumpang semasa parti berada di puncak kuasa, kini semakin menjauh… dan itu bukan satu kelemahan, itu adalah hukum alam.
“Seperti daun-daun tua yang gugur dari pokok, ia memberi ruang kepada pucuk-pucuk baharu untuk tumbuh dengan lebih segar dan kuat. Selama mana pokok perjuangan UMNO masih hidup, akar sejarahnya masih mencengkam bumi, dan batangnya masih teguh menahan cabaran zaman,” katanya kepada UMNO Online.
Saiful Adli yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan berkata, kekuatan akar umbi UMNO harus dipadukan dengan strategi menarik penyertaan generasi muda.
“Program seperti Sekolah Patriotik menjadi contoh bagaimana UMNO boleh memupuk kefahaman tentang perjuangan bangsa, membina semangat kenegaraan, dan melahirkan barisan pelapis yang bukan hanya celik politik, tetapi juga sarat dengan nilai dan integriti.
“UMNO kuat bukan kerana jumlah kerusi semata-mata, tetapi kerana jati dirinya. Apabila jati diri itu disuburkan kembali dengan ahli yang ikhlas, pemimpin yang berwibawa, dan penyertaan anak muda yang segar, UMNO akan kembali bangkit, bukan sebagai bayang-bayang masa lalu, tetapi sebagai harapan masa depan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama kata Saiful Adli, UMNO perlu melihat situasi ini dalam Kerajaan Persekutuan sebagai satu peluang walaupun jumlah kerusi tidak seberapa besar.
“Meskipun parti kini tidak lagi memegang jumlah kerusi parlimen yang besar, hakikat bahawa UMNO masih menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan adalah satu kelebihan yang tidak wajar disia-siakan.
“Ia ruang untuk membuktikan bahawa UMNO masih mampu menyumbang secara bermakna dalam pentadbiran negara, menyuarakan agenda Melayu dan Islam, serta memainkan peranan yang konstruktif demi kestabilan politik dan kemakmuran rakyat,” ujarnya. – UMNO Online