Perkasa Wanita Melalui Ilmu Digital Dan Kemahiran Komuniti – Norshida
SEGAMAT, 29 Mei – Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim, menegaskan bahawa wanita masa kini perlu bersedia menghadapi cabaran dunia moden dengan memperkasa diri melalui penguasaan pelbagai ilmu dan kemahiran, terutama dalam bidang digital dan keusahawanan.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat menekankan pentingnya wanita melangkah ke hadapan dan tidak ketinggalan dalam era transformasi digital yang semakin pantas lantas bijak mengaplikasi teknologi sebagaimana penganjuran kursus Canva-KEMAS.
“Peranan wanita bukan lagi terhad di rumah sahaja. Hari ini, wanita adalah pemimpin komuniti, usahawan, pendidik, dan penggerak ekonomi. Kita perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi supaya terus relevan dan berdaya saing,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, kursus ini yang dikendalikan oleh Kolej Komuniti Segamat disertai oleh peserta wanita daripada pelbagai latar belakang telah memberi pendedahan menyeluruh tentang penggunaan Canva iaitu aplikasi digital penting dalam dunia pemasaran dan perniagaan masa kini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar yang telah memberikan bimbingan yang sangat berharga. Komitmen anda amat kami hargai, dan kesannya dapat dilihat pada peningkatan keyakinan dan pengetahuan peserta.”
Norshida turut menyatakan rasa bangga terhadap semua peserta yang telah menunjukkan kesungguhan sepanjang kursus berlangsung.
“Semangat mereka untuk belajar dan meneroka kemahiran baru mencerminkan tekad golongan wanita untuk terus maju dan berdikari, selari dengan aspirasi Wanita UMNO dalam memperkasakan komuniti.
“Kursus Canva ini merupakan salah satu daripada banyak inisiatif yang dibawa untuk membantu golongan wanita menyesuaikan diri dengan keperluan semasa, khususnya dalam bidang keusahawanan digital, pemasaran produk, dan komunikasi visual.”
Dalam perkembangan lain, Norshida turut berkesempatan menyaksikan demonstrasi penyediaan strudel puff oleh para peserta KEMAS di Palong Timur 2.
Jelasnya, aktiviti ini telah menjadi medan bagi para wanita untuk mempamerkan kemahiran masakan mereka dalam suasana yang penuh mesra dan kreatif.
“Program seperti ini bukan sahaja membekalkan kemahiran praktikal yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian, tetapi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan. Di samping itu, ia mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam komuniti,” katanya.
Beliau berharap aktiviti-aktiviti seperti ini dapat diperluaskan lagi di seluruh kawasan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan program kemasyarakatan yang lebih menyeluruh, sejajar dengan matlamat UMNO untuk membangunkan komuniti yang progresif dan berdaya tahan.
“Wanita UMNO terus komited memainkan peranan aktif dalam memperkasa keupayaan melalui pelbagai inisiatif pendidikan, pembangunan kemahiran, dan keusahawanan. Dalam dunia yang semakin mencabar, penguasaan ilmu dan semangat kerjasama adalah kunci kejayaan.
“Jom kita teruskan semangat ini. Terus belajar, terus menyokong antara satu sama lain, dan mara bersama ke arah kejayaan dalam dunia digital yang berkembang pesat. Wanita UMNO akan sentiasa berada di barisan hadapan untuk membimbing, menyokong dan mengangkat martabat anak bangsa,” tegasnya lagi. – UMNO Online