Pasca Persidangan Cawangan: Masa UMNO ‘Recharge’ Dan ‘Re-energize’ – Abdul Razak
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman menyifatkan tempoh pasca mesyuarat cawangan dan pra-mesyuarat bahagian sebagai satu fasa strategik yang amat penting khususnya untuk memperkukuhkan UMNO.
Menurutnya, tempoh ini bukan sekadar memenuhi rutin organisasi tahunan tetapi lebih kepada satu kesempatan emas untuk menilai kembali kekuatan parti bermula dari akar umbi.
“Saya melihat pasca-mesyuarat cawangan dan pra-mesyuarat bahagian ini sebagai satu tempoh strategik yang penting untuk kukuhkan parti UMNO. Justeru setiap sesi perjumpaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk ‘recharge’ dan ‘re-energize’ semangat perjuangan dalam kalangan ahli.
“Pasca mesyuarat cawangan dan pra-mesyuarat bahagian bukan sekadar rutin organisasi. Ia adalah peluang strategik untuk menilai semula struktur kekuatan UMNO bermula dari asas paling bawah iaitu akar umbi.
“Persidangan mesyuarat cawangan inilah dapat berjumpa dengan akar umbi parti serta mendapat pandangan dan cadangan. Disinilah segala proses pandangan dan suara ahli dapat membawa suara mereka ke peringkat yang lebih atas,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas berkaitan penubuhan Sekolah Patriotik UMNO, Abdul Razak menegaskan bahawa ia perlu bagi mempertahan kekuatan sebenar UMNO di mata rakyat.
“Kita perlu sedar kekuatan UMNO, perlu tahu tahap kemampuan kita membaca denyut nadi rakyat, khasnya orang muda. Rakyat kini tidak melihat UMNO hanya sebagai parti orang tua, tetapi sedang menunggu satu UMNO baharu… berani berubah, berani bercakap benar, dan paling penting, berani mengubah budaya politik selesa yang selama ini kita sendiri rasai.
“Kekuatan UMNO tidak lagi boleh bergantung pada nostalgia semata-mata. Kita harus akui bahawa golongan muda kini sudah terlalu lama dibiarkan menjadi ‘penonton’. Apa yang kita usahakan sekarang bukan lagi sekadar suara, tetapi gerak kerja tersusun. Ini bukan retorik tetapi adalah tindakan.
“Kita perlu melatih semula barisan pemimpin muda bukan sekadar untuk ‘mengurus mesyuarat’ tetapi untuk menjadi komander komunikasi komuniti digital iaitu menguasai naratif di WhatsApp, TikTok, dan Twitter dengan fakta bukannya fitnah,” jelasnya.
Ujarnya, sekiranya parti lain boleh menganjurkan kem latihan strategik mereka dengan dana sendiri dan gerakan profesional, mengapa UMNO tidak boleh membentuk akademi kepimpinan di peringkat Bahagian yang melatih bukan sahaja ahli, tetapi juga anak muda untuk cenderung pada idealisme nasionalis.
Tambah beliau, penglibatan anak muda dalam politik merupakan aset yang amat bernilai dan perlu digilap berterusan.
“Kita perlu ‘groom’ pelapis parti dan dalam masa yang sama agar UMNO kekal relevan dan ‘cool’ di mata anak muda. Ini bukan sekadar pasal menang pilihan raya esok, tapi pasal legasi dan memastikan UMNO terus jadi ‘game changer’ dalam politik negara untuk jangka masa panjang. Kita tak sekadar kejar undi, tapi kita bina ‘future leaders’.
“Pendek kata apa yang UMNO lakukan bukan ‘just another activity’, tapi satu ‘blueprint’ yang ‘well thought out’ untuk parti terus kuat, relevan, dan sentiasa ‘a head of the curve’,” ujarnya.
Ujarnya lagi, dengan pendekatan sebegini, semua pihak akan nampak visi dan kesungguhan untuk bawa UMNO ke tahap yang lebih tinggi. – UMNO Online