Melaka Lancar Program “Zero To Hero”, Platform Transformasi Untuk Belia

MASJID TANAH, 29 Mei – Kerajaan Negeri Melaka hari ini melancarkan Program “Zero to Hero”, satu inisiatif transformasi belia yang memberi tumpuan kepada latihan intensif dalam bidang scaffolding, khususnya bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas.

Majlis pelancaran yang berlangsung di HRSB Holdings Sdn Bhd, Masjid Tanah, disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja menawarkan latihan kemahiran tinggi, malah menjamin penempatan pekerjaan kepada para peserta selepas tamat latihan.

“Program ini menjadi platform penting dalam usaha kerajaan negeri melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang yang strategik. Kita juga terbuka untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama pihak industri dan penyedia latihan bagi memperluas peluang latihan kemahiran yang selari dengan keperluan semasa,” katanya.

Jelasnya, program ini dianjurkan di bawah Majlis TVET Negeri Melaka dengan peruntukan sebanyak RM120,000 untuk melatih 30 orang belia Melaka yang layak.

Katanya, program ini merupakan satu lagi usaha berterusan Kerajaan Negeri Melaka dalam menjadikan TVET sebagai landasan utama untuk membentuk masa depan belia yang lebih cerah.

“TVET negara harapan bangsa, membawa Melaka ke persada dunia,” tambahnya.

Turut hadir menyaksikan pelancaran program ialah mantan Ketua Menteri Melaka merangkap ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad; Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Datuk Khaidira Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta Presiden HRSB Holdings Sdn. Bhd, Datuk Mohd Faizal Mohd Hassim. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79