Malaysia-UAE Komited Perkukuh Hubungan Strategik Demi Kesejahteraan Serantau
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Hubungan dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik yang berteraskan saling menghormati dan melengkapi, demi kesejahteraan serantau dan kemajuan bersama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, komitmen tersebut dizahirkan menerusi pertemuan beliau bersama Menteri Pelaburan UAE, TYT Mohamed Hassan Al-Suwaidi di Kuala Lumpur semalam, dalam kesibukan penganjuran penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC.
Ujarnya, pertemuan empat mata itu turut membincangkan potensi perluasan kerjasama dalam sektor-sektor bernilai tinggi yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat kedua-dua negara.
“Ia membuka ruang kepada pertukaran pandangan serta pengalaman antara dua negara, sekali gus mencerminkan keyakinan bersama terhadap masa depan kerjasama strategik ini,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa hubungan baik antara Malaysia dan UAE akan terus dipelihara dan diperkukuh berasaskan prinsip saling menghormati serta saling melengkapi, yang menjadi asas penting dalam membina kestabilan dan kesejahteraan di rantau ini.
“Insya-Allah, kerjasama ini akan membawa manfaat besar bukan sahaja kepada rakyat Malaysia dan UAE, tetapi juga kepada pembangunan serantau secara keseluruhannya,” ujar beliau.
Mohamed Hassan juga adalah Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Eksekutif ADQ dan Timbalan Pengerusi Masdar. – UMNO Online