KPT Sambut Baik Komitmen Kerjasama UKM Bersama Universiti Vietnam – Zambry

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyambut baik komitmen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani surat hasrat dengan dua universiti terkemuka Vietnam.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan beliau telah menghadiri syarahan umum Perdana Menteri Vietnam, TYT Phạm Minh Chính di UKM sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Rabu.

“Saya berkesempatan menghadiri syarahan umum oleh Perdana Menteri Vietnam, TYT Phạm Minh Chính di UKM sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

“Syarahan beliau yang bertemakan ‘Pendidikan, Inovasi dan Belia’ amat bertepatan dengan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Beliau menekankan peranan kerjasama pendidikan tinggi, inovasi teknologi dan transformasi digital antara negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia dan Vietnam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam merintis masa depan pendidikan dan inovasi ASEAN yang lebih terbuka.

“Saya menyambut baik komitmen UKM menandatangani surat hasrat dengan dua universiti terkemuka Vietnam. Ia merupakan satu langkah strategik ke arah integrasi ilmu dan pembangunan modal insan serantau.

“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam merintis masa depan pendidikan dan inovasi ASEAN yang lebih terbuka, mampan dan inklusif, dengan belia sebagai teras utama,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79