Komitmen Kerajaan Berterusan Tangani Kos Sara Hidup – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Kerajaan komited memastikan setiap kelompok rakyat di negara ini terbela dalam mendepani cabaran ekonomi masa kini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden UMNO, yakin melalui kerjasama kementerian dan agensi, pelbagai langkah proaktif akan terus digerakkan agar kehidupan rakyat sentiasa terbela.
“Kerajaan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik demi memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam menghadapi cabaran ekonomi yang pelbagai.
“Insya-Allah, dengan iltizam yang jelas dan tindakan yang konsisten, kita mampu membina sebuah negara yang bukan sahaja membangun dari segi fizikal tetapi juga menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian menerusi hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu beliau turut membuat hantaran bersempena perjumpaan Perdana Menteri bersama warga JPM bagi bulan Mei yang diadakan hari ini yang menyaksikan penghargaan disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kepada seluruh penjawat awam dan petugas yang terlibat dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan ASEAN GCC-China baru-baru ini.
“Beliau menyebutnya berulang kali betapa beliau kagum dengan kesungguhan dan semangat luar biasa pasukan kerja kita.
“Saya sendiri menyaksikan bagaimana seluruh jentera pentadbiran negara berganding bahu dari pelbagai peringkat, bekerja siang dan malam demi memastikan sidang kemuncak ini berlangsung dengan baik.
“Terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini.
“Daripada petugas lapangan hinggalah kepada pasukan perancang, setiap sumbangan anda amat bermakna. Semangat kerjasama dan komitmen anda terhadap negara telah menyerlahkan kemampuan Malaysia di pentas serantau,” ujar beliau. – UMNO Online