Isu Air Sabah Masih Berlarutan, Bung Moktar Gesa Penjelasan Tuntas
KOTA KINABALU, 30 Mei – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meluahkan kekecewaannya terhadap isu tempatan yang masih berlarutan iaitu hal berkaitan bekalan air bersih yang masih membelenggu rakyat di negeri itu.
Menurut Bung, sehingga kini tiada sebarang penjelasan konkrit diberikan oleh pemimpin bertanggungjawab mengenai bilakah masalah bekalan air bersih akan diselesaikan secara tuntas, bukan sahaja untuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), malah untuk seluruh rakyat Sabah.
“Sehingga saat ini, tidak ada apa-apa penjelasan tentang bila bekalan air bersih boleh dibekalkan sepenuhnya. Bukan saja kepada pelajar UMS, tetapi juga rakyat Sabah keseluruhannya.
“Ini adalah keperluan asas yang sepatutnya menjadi keutamaan. Rumah kita, kita jaga! Parti tempatan harus bertanggungjawab,” tegas beliau.
Dilaporkan, isu bekalan air bersih telah menjadi antara masalah berpanjangan di Sabah, terutama di kawasan pinggir bandar dan pedalaman malah kampus UMS turut dilaporkan terjejas hingga menyukarkan urusan harian pelajar dan kakitangan universiti.
Berikutan itu tular sepucuk surat tular daripada seorang pelajar UMS baru-baru ini hingga menarik perhatian Kerajaan Sarawak, dengan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjanji akan membawa perkara itu kepada perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi.
Surat tersebut ditulis oleh Muhammad Rasul Rozmiezan, 21, pelajar tahun dua jurusan sosiologi dari Kuching yang menyuarakan kesulitan dihadapi pelajar di kampus akibat kekurangan bekalan air bersih dan stabil.
Terdahulu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sebelum ini telah beberapa kali menggesa kerajaan negeri untuk menyegerakan pelaksanaan projek air bersih, termasuk penambahbaikan infrastruktur pembekalan air.
Bukan hanya melalui kenyataan, malah Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag telah menyuarakan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di Dewan Rakyat selain mengingatkan Kerajaan Negeri Sabah agar lebih serius menangani isu bekalan air yang sudah lama menjadi masalah besar kepada rakyat. – UMNO Online