Gunakan Kuasa Untuk Bekerja Demi Agama, Bangsa Dan Negara – Mohd Razlan
SABAK BERNAM, 29 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan bahawa kuasa dalam politik bukan sekadar soal jawatan atau kemewahan, sebaliknya ia adalah untuk memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 2025 Koperasi Pembangunan Melayu Daerah Sabak Bernam Berhad yang berlangsung di Sungai Besar, baru-baru ini.
“UMNO dan kerajaan Perpaduan hari ini bukan hanya mempertahankan kuasa tetapi kita gunakan kuasa itu untuk bekerja demi agama, bangsa dan negara tercinta,” ujar beliau di hadapan para ahli koperasi yang hadir.
Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut merakamkan penghargaan kepada pihak koperasi atas jemputan tersebut dan memuji komitmen barisan kepimpinan serta ahli dalam memperjuangkan kemajuan ekonomi masyarakat Melayu di daerah terbabit.
Beliau turut menekankan bahawa tanpa kuasa, pemimpin hanya mampu melihat ketidakadilan berlaku tanpa mampu bertindak, manakala suara rakyat pula akan terus tenggelam tanpa pembelaan.
“Untuk membela koperasi, pertubuhan mahupun persatuan demi pembangunan ekonomi luar bandar serta memastikan peluang sampai kepada golongan sasaran, kita memerlukan kuasa yang stabil dan dihormati,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik dan kuasa yang jelas adalah asas kepada kemajuan negara, termasuklah kejayaan institusi koperasi.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar sokongan terhadap kerajaan perpaduan terus diperkukuh bagi menjamin kesinambungan pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar, pendidikan TVET, ekonomi dan pembelaan kepada usahawan tempatan. – UMNO Online