Fitnah Perlu Dibanteras, Mohd Zaidy Sokong Tindakan Tegas Pengerusi MARA

JEMPOL, 29 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang mengambil langkah undang-undang terhadap Ahli Parlimen pembangkang ekoran tuduhan fitnah terhadap dirinya dan institusi MARA.

Menurut Mohd Zaidy, tindakan menyebarkan fitnah bukanlah satu permainan yang boleh dipandang ringan kerana ia mampu merosakkan reputasi individu, menjatuhkan kredibiliti institusi, dan menggugat keyakinan rakyat.

“Apabila seseorang menabur tuduhan tanpa bukti maka ia hanya untuk raih perhatian politik, itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi juga berbahaya kepada kestabilan dan kepercayaan awam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menyatakan bahawa langkah membawa perkara ini ke muka pengadilan merupakan tindakan yang wajar demi memastikan sempadan fitnah tidak dilangkaui.

“Saya menyokong penuh langkah undang-undang ini kerana fitnah mesti ada batasnya. Kita tak boleh benarkan sesiapa pun bercakap sesuka hati tanpa fakta, apatah lagi dalam urusan melibatkan amanah rakyat dan masa depan Bumiputera,” tambahnya.

Mohd Zaidy turut berharap agar tindakan ini menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang gemar mengamalkan politik kebencian dan fitnah, sambil menekankan perlunya keberanian dan kejujuran dalam landskap politik negara.

“Politik ini perlu dibersihkan dengan keberanian dan kejujuran, bukan dengan tohmahan dan hasutan,” ujarnya lagi.

Semalam dilaporkan, Dr Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa barisan Peguam MARA akan mulakan prosiding saman kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah kerana dianggap sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan dan berniat untuk memburukkan institusi Melayu-Bumiputera. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79