Bencana Ribut: Suhaimizan Melawat, Salur Peruntukan Terus Baiki Rumah Terjejas
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar telah turun padang untuk melawat mangsa bencana ribut di kawasan sekitar dan menyalurkan peruntukan terus untuk membaiki rumah mereka.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa terdapat empat buah rumah terjejas teruk di tiga kawasan iaitu FELDA Sungai Kelamah, Kampung Paya Lebar Air Kuning dan Kampung Ulu Rokan.
“Saya telah turun padang untuk melawat dan menyampaikan peruntukan membaiki empat buah rumah yang terjejas teruk akibat bencana ribut yang melanda Gemencheh pada Rabu.
“Di FELDA Sungai Kelamah, sebanyak dua buah rumah yang terjejas teruk manakala masing-masing sebuah rumah di Kampung Paya Lebar Air Kuning dan Kampung Ulu Rokan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tampin berkata, kerja-kerja untuk membersihkan beberapa lokasi yang terhalang akibat pokok tumbang telah dilaksanakan dan dibantu oleh badan-badan penguatkuasa setempat.
“Terdapat beberapa lokasi yang terhalang kerana pokok tumbang akibat kejadian ribut ini di Kampung Baru Gedok, Kampung Ulu Rokan, Jalan Bukit Rokan dan Jalan Gemencheh Lama-Dangi.
“Untuk itu, kerja-kerja pembersihan telah dilakukan dan dibantu oleh badan penguatkuasa tempatan seperti bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan selia senggara,” katanya. – UMNO Online