Wakil Rakyat Pembangkang Buat Fitnah, Dr Asyraf Akan Ambil Tindakan Saman

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Setiausaha Agung UMNO yang juga Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang wakil rakyat daripada Melaka.

Beliau berkata tindakan itu selepas kenyataan fitnah dilakukan membabitkan dirinya.

“Tak habis-habis seorang pembangkang dari Melaka buat pelbagai fitnah kononnya saya habiskan duit MARA sebab terjah, tebuk hafazan dan MARA dah tak biayai pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu menerusi respon di ruangan komen, Dr Asyraf memaklumkan beliau sebelum ini tidak menghiraukan fitnah tersebut namun ia kini disifatkan sebagai melampaui batas.

“Insya-Allah, barisan Peguam MARA akan mulakan prosiding saman kepada beliau. Mula-mula saya ingat malas nak layan tapi sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. See you in court YB Mas!

“Saya tiada masalah untuk mengkritik saya, contohnya tidak wajar seorang Pengerusi yang bukan eksekutif terjah ke institusi-institusi Pendidikan MARA seperti MRSM, IKM, KKTM tanpa maklumkan kepada pihak pengurusan kerana akan menyusahkan mereka.

“Tapi kalau sudah sehingga melemparkan fitnah dengan niat untuk memburukkan institusi Melayu-Bumiputera ini, saya tiada pilihan melainkan untuk menyaman fitnah,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79