Sidang DUN: UMNO Johor Komited Jayakan Agenda Pembangunan Rakyat – Md Israk

KUALA LUMPUR, 28 Mei – UMNO Negeri Johor komited untuk menjayakan agenda pembangunan rakyat, kata Ketua Penerangannya, Md Israk Abdullah.

Menerusi satu kenyataan, beliau menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, di atas keprihatinan dan panduan berterusan ketika sesi pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15 telah melabuhkan tirai dengan jayanya. UMNO Johor menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di atas keprihatinan dan panduan berterusan dalam memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan tertib, berintegriti serta berfokus kepada kepentingan Bangsa Johor.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO Johor, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan sokongan terhadap ucapan penggulungan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang komprehensif, strategik serta berpandangan jauh. Ucapan tersebut bukan sekadar menutup perbahasan, tetapi merupakan dokumen panduan dasar untuk kita jayakan bersama.

“Ucapan tersebut telah menampilkan kepimpinan yang berpaksikan kepada keprihatinan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam menangani isu-isu utama yang menyentuh kehidupan Bangsa Johor,” katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa perkara disentuh dalam sesi penggulungan yang membuktikan pentadbiran di bawah pimpinan Menteri Besar bersifat progresif dalam menjayakan agenda Maju Johor.

“Beberapa perkara penting yang disentuh dalam sesi penggulungan tersebut jelas menunjukkan bahawa pentadbiran negeri di bawah pimpinan Menteri Besar bersifat progresif serta meletakkan komitmen yang tinggi terhadap agenda Maju Johor.

“UMNO Johor akan memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda pembangunan ini, dengan menggerakkan jentera penerangan di seluruh peringkat untuk memperjelas dasar-dasar kepada rakyat serta mendapatkan maklum balas akar umbi untuk disampaikan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan keyakinan bahawa dengan kepimpinan Menteri Besar, Negeri Johor akan terus dipacu ke arah kemajuan.

“Ucapan ini wajar dijadikan pedoman semua pihak tidak kira parti politik, agensi kerajaan mahupun sektor swasta demi memastikan setiap perancangan yang digariskan dapat diterjemah menjadi manfaat nyata buat Bangsa Johor.

“UMNO Johor yakin dan percaya bahawa kepimpinan Menteri Besar Johor akan terus memacu negeri ini ke arah kemajuan yang inklusif, mampan dan berintegriti.

“UMNO Johor berdiri teguh dan akan terus menyokong dasar-dasar dan inisiatif kerajaan negeri demi masa depan Johor yang lebih maju, makmur, dan lestari,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79