Sekolah Patriotik UMNO: Jawapan Kepada Cabaran… Pastikan UMNO Terus Relevan

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Sekolah Patriotik UMNO adalah jawapan kepada cabaran untuk memastikan parti terus relevan dalam dunia politik yang semakin kompleks, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin.

Ujarnya, Sekolah Patriotik UMNO ini bukan hanya sekadar untuk membentuk pemimpin politik, tetapi bagi meniupkan roh perjuangan dalam generasi anak muda.

“Saya amat berbesar hati untuk melihat lahirnya Sekolah Patriotik UMNO, satu langkah yang saya percaya sangat penting bagi UMNO dan juga negara. Ini bukan hanya tentang melahirkan pemimpin politik, tetapi lebih kepada membentuk roh perjuangan dalam kalangan generasi muda kita.

“Pada 2020, saya berpeluang berbincang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi di rumah beliau tentang idea untuk menyediakan platform yang mampu menggalakkan semangat patriotisme dan memberi pemahaman mendalam terhadap sejarah serta perjuangan UMNO.

“Saya tidak mahu mengatakan bahawa saya adalah pencetus utama idea ini, tetapi saya gembira kerana perbincangan tersebut sedikit sebanyak memberi sumbangan kepada Sekolah Patriotik yang kini kita lihat terlaksana. Saya rasa ini adalah bukti kepada visi jauh yang dimiliki oleh Presiden kita,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, Sekolah Patriotik UMNO ini bukan sahaja menjadi platform untuk anak muda mempelajari teori politik dan berpidato bahkan menjadi seseorang yang berprinsip dan setia kepada agama, bangsa serta negara.

“Sekolah Patriotik UMNO ini bukan sekadar tempat untuk mempelajari teori politik atau berpidato dengan lancar. Kami mahu melahirkan pemimpin yang mempunyai daya juang tinggi, daya tahan kukuh dan paling penting… kesetiaan yang mendalam kepada agama, bangsa, dan negara.

“Kami mahu melahirkan pemimpin yang tahu bagaimana untuk bertindak dalam dunia yang serba cepat ini, bukan hanya mengikuti arus tetapi mencoraknya. Dalam erti kata lain, kita ingin membentuk pemimpin yang bukan hanya pintar, tetapi berprinsip.

“Saya percaya Sekolah Patriotik UMNO adalah jawapan kepada cabaran untuk memastikan UMNO terus relevan dalam dunia politik yang semakin kompleks. Anak muda hari ini perlu lebih daripada sekadar menjadi penonton dalam arena politik. Mereka perlu bangkit sebagai pemikir, perancang, dan pelaksana yang mampu mencorakkan masa depan Malaysia,” katanya lagi.

Mu’izz mengadakan perbincangan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai usaha untuk memperkasa anak muda pada tahun 2020

Menurutnya, Sekolah Patriotik UMNO turut memberi ruang kepada generasi muda membangkitkan idea-idea segar di samping mengasah kemahiran kepimpinan mereka dengan prinsip perjuangan.

“Sekali lagi, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana mengambil inisiatif ini dan memastikan ia menjadi kenyataan. Saya yakin dengan kepimpinan berwawasan ini, Sekolah Patriotik UMNO akan menjadi batu asas kepada kebangkitan generasi baru yang akan membawa parti ini menuju kejayaan lebih cemerlang.

“Modul latihan yang dirangka secara holistik, merangkumi aspek pemikiran kritis, kepimpinan strategik, dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan UMNO adalah sangat penting dalam membentuk pemimpin yang cerdas, berani, dan berkeyakinan tinggi.

“Dengan perancangan ini, saya yakin Sekolah Patriotik UMNO akan menjadi batu asas kepada kebangkitan generasi baharu yang mampu membawa parti ini ke mercu kejayaan yang lebih gemilang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mu’izz berpandangan bahawa anak muda perlu memainkan peranan sebagai pemikir, perancang dan pelaksana dalam mencorakkan masa depan negara.

“Anak muda hari ini tidak boleh hanya menjadi penonton dalam arena politik. Mereka perlu bangkit sebagai pemikir, perancang, dan pelaksana yang mampu mencorakkan masa depan Malaysia.

“Melalui Sekolah Patriotik UMNO, kita membuka ruang kepada mereka untuk mengembangkan potensi kepimpinan dengan nilai-nilai yang berakar kepada perjuangan UMNO.

“Akhirnya, kita tidak mahu hanya melahirkan pengikut yang hanya tahu mengikut arahan. Kita mahu pemimpin yang berprinsip, berwawasan dan berjiwa rakyat. Saya percaya bahawa Sekolah Patriotik UMNO adalah platform yang tepat untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79