PRN Sabah: Hormati Proses Rundingan, Kenyataan Pramatang Boleh Cetus Persepsi – Dr Anil Sandhu
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Politik bukanlah semata-mata tentang angka atau mendabik dada di pentas terbuka sebaliknya ia adalah soal amanah, integriti dan kesungguhan dalam memberi khidmat.
Demikian tegasnya Bendahari Pemuda UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan-kenyataan mutakhir yang menjurus kepada jumlah kerusi yang ingin ditandingi oleh sesetengah pihak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Katanya, dalam situasi rakyat sedang berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, harga barangan yang tidak menentu serta jurang pembangunan luar bandar yang masih ketara, kenyataan seperti ini tidak membawa sebarang nilai tambah terhadap agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Kenyataan pramatang seperti ini hanya mencetuskan persepsi bahawa ada segelintir pemimpin terlalu ghairah menghitung kerusi dan pengaruh, berbanding memberi perhatian kepada masalah rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan.
“Semua pihak perlu lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum. Hormatilah proses rundingan yang sedang berjalan, dan jangan mendahului keputusan kepimpinan tertinggi mana-mana gabungan atau parti.
“Kepercayaan rakyat hanya boleh dibina melalui kesatuan tindakan dan keikhlasan khidmat, bukan melalui perlumbaan pengaruh secara terbuka yang boleh mencetuskan kekeliruan dan perpecahan,” katanya.
Mengulas lanjut Dr Anil Sandhu yang juga Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu berkata fokus utama kini seharusnya ialah memperkukuh usaha di peringkat akar umbi, memperbaiki kelemahan yang lalu dan menunjukkan komitmen sebenar untuk membantu rakyat yang sedang bergelut dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Sebagai pemimpin muda, saya percaya bahawa pendekatan politik yang matang, berhemah dan beradab adalah jalan terbaik untuk mengangkat martabat politik di negeri ini.
“Jangan jadikan politik sebagai medan menunjuk kuasa, tetapi jadikan ia ruang untuk mempamerkan integriti, tanggungjawab dan keikhlasan dalam berbakti kepada rakyat,” ujarnya. – UMNO Online