Persidangan ASEAN: Malaysia Akan Bina Kerjasama Strategik Melalui IPT – Zambry
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Malaysia akan membina kerjasama strategik melalui Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk melahirkan lebih ramai pakar tempatan dan menjadikan Malaysia antara peneraju dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah berpeluang bertemu dengan tokoh yang digelar ‘Godfather of Reinforcement Learning in AI’ iaitu Profesor Richard S. Sutton sempena Persidangan ASEAN 2025 pada Selasa.
“Hari ini saya berasa amat bertuah kerana berpeluang bertemu dengan Profesor Richard S. Sutton, tokoh yang digelar ‘Godfather of Reinforcement Learning in AI’. Beliau baru sahaja diumumkan sebagai penerima Anugerah A.M. Turing 2025, pengiktirafan tertinggi dalam bidang sains komputer yang sering dianggap sebagai ‘Hadiah Nobel untuk Sains Komputer’.
“Anugerah ini dianugerahkan oleh Association for Computing Machinery (ACM) kepada individu yang memberi sumbangan besar dan berpanjangan kepada pembangunan teori serta aplikasi teknologi maklumat.
“Profesor Sutton bersama penyelia Ijazah Kedoktoran (PhD) beliau, Prof. Andrew G. Barto, telah membangunkan asas kepada konsep dan algoritma Reinforcement Learning, satu cabang AI yang membolehkan mesin belajar melalui proses trial and error. Teknologi AI termaju seperti AlphaGo dan ChatGPT adalah antara aplikasi yang lahir daripada asas pemikiran ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pertemuan tersebut telah mencambahkan banyak idea dan visi melalui kebijaksanaan yang mereka kongsikan.
“Saya juga sempat bertemu dengan seorang lagi tokoh hebat, Profesor Dr. Randy Goebel, pakar dalam bidang pembelajaran mesin dan Explainable AI (XAI) atau AI yang boleh dijelaskan. Beliau merupakan Pengasas Bersama Alberta Machine Intelligence Institute (Amii), sebuah pusat penyelidikan AI terkemuka di Kanada.
“Perbualan bersama tokoh-tokoh ini memang terasa singkat serta banyak idea, visi dan kebijaksanaan yang mereka kongsikan.
“Insya-Allah, Malaysia akan membina kerjasama strategik dengan kumpulan ini melalui IPT di seluruh negara. Kita mahu melahirkan lebih ramai pakar tempatan dan menjadi antara negara peneraju dalam bidang AI yang luas, dengan fokus tertentu kepada bidang yang berimpak tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online