Perkembangan Positif Hubungan Malaysia Bersama GCC, China Bukti ASEAN Terus Relevan

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Perkembangan positif hubungan Malaysia bersama Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC) dan China membuktikan bahawa ASEAN terus relevan serta dihormati.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 melabuhkan tirai dengan jayanya pada Selasa.

“Alhamdulillah, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 melabuhkan tirai dengan jayanya lewat petang semalam

“Tahniah kepada seluruh delegasi Malaysia atas komitmen tinggi dan kerjasama erat pelbagai kementerian, agensi, pasukan keselamatan negara, pemberita serta semua yang terlibat dalam menjayakan persidangan ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Sidang Kemuncak ASEAN pada kali ini signifikan dan membawa kepada hasil kenyataan bersama yang padat serta bermakna.

“Sidang Kemuncak ASEAN kali ini amat signifikan, bukan sahaja dari segi perbincangan strategik, tetapi juga hasil kenyataan bersama yang padat dan bermakna.

“Perkembangan positif dalam hubungan bersama GCC dan China juga membuktikan bahawa ASEAN terus relevan dan dihormati.

“Semoga segala persetujuan dan kesepakatan yang dicapai dapat diterjemah kepada tindakan yang nyata dan berkesan,” katanya.

Untuk rekod, Sidang Kemuncak ASEAN telah bermula pada 23 Mei 2025 dan telah melabuhkan tirainya.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan utama dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa, termasuk melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China.

Sidang ini memberi tumpuan kepada pengukuhan Komuniti ASEAN, memperluaskan hubungan dengan GCC, serta membina kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC dan China.

Penganjuran ini membawa impak besar kepada ekonomi Malaysia dan rantau ASEAN, termasuk peningkatan perdagangan, pelaburan, dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79