Pasca Persidangan Cawangan UMNO: Perkembangan Positif, Keterlibatan Pelbagai Lapisan – Sollehin
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohammad Tajie menzahirkan rasa sukacita kerana melihat perkembangan positif sepanjang siri persidangan cawangan UMNO di seluruh kawasannya.
Menurutnya, pada persidangan cawangan UMNO baru-baru ini pelbagai lapisan masyarakat yang hadir tidak mengira apa status akademik mereka.
“Saya dapat melihat satu perkembangan yang cukup positif pada persidangan cawangan UMNO. Wujud keterlibatan secara langsung mahupun tidak langsung daripada kalangan golongan profesional, termasuk guru, jurutera, penjawat awam, usahawan serta pengamal pelbagai bidang, dalam mesyuarat-mesyuarat cawangan.
“Walaupun ada antara mereka mungkin belum mengambil posisi rasmi dalam jawatankuasa, namun kehadiran mereka, sumbangan buah fikiran serta semangat untuk membantu memperkukuh gerak kerja parti amat dirasai.
“Ini jelas isyarat bahawa UMNO tidak lagi dilihat sebagai parti untuk kelompok tertentu sahaja, tetapi semakin terbuka dan meraikan kepelbagaian latar belakang ahlinya,” katanya kepada UMNO Online.
Kata Sollehin lagi, cabaran kini ialah membuka lebih banyak ruang dan kepercayaan untuk mereka menyumbang secara lebih sistematik, agar UMNO terus menjadi parti yang inklusif dan berpandangan jauh.
Sollehin yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia berkata setanjang siri tersebut, nampak tanda-tanda kebangkitan akar umbi yang sangat positif dan meyakinkan.
“Terdapat tanda-tanda kebangkitan yang meyakinkan terutamanya golongan muda, khususnya Pemuda dan Puteri, mula menunjukkan kehadiran yang lebih tersusun dan aktif dalam perjalanan parti.
“Malah terdapat beberapa cawangan yang baru sahaja menubuhkan sayap Pemuda dan Puteri secara rasmi. Ini bukan sekadar angka, tetapi isyarat bahawa semangat perjuangan dalam kalangan generasi baru UMNO semakin menyala.
“Ia juga mencerminkan usaha pembaharuan yang sedang berlaku dalam membina semula kepercayaan dan keterlibatan generasi pelapis,” katanya.
Seterusnya kata beliau lagi, di pihak Wanita UMNO pula, menyaksikan semangat luar biasa dalam penubuhan beberapa sayap cawangan Wanita baharu.
“Wanita UMNO bukan sekadar hadir tetapi juga terus mengambil peranan penting dalam memperkukuhkan jentera parti di peringkat cawangan. Ini jelas bahawa UMNO semakin bersedia untuk masa depan.
“Dengan sinergi antara generasi lama dan baharu, kekuatan wanita dan semangat anak muda, parti ini sedang menyusun langkah ke arah pemerkasaan sebenar, bukan sekadar untuk pilihan raya, tetapi untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai wadah perjuangan tulen demi agama, bangsa dan tanah air,” jelasnya. – UMNO Online