Kejayaan Persidangan Cawangan Bukti UMNO Ampuh, Sedia Hadapi Cabaran Politik – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Musim persidangan cawangan UMNO yang berlangsung dari 7 April hingga 25 Mei telah melabuhkan tirainya dengan kejayaan cukup baik yang mencerminkan kekuatan dalaman, organisasi mantap dan semangat perpaduan dalam kalangan ahli-ahli parti di seluruh negara.
Menurut Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kejayaan penganjuran persidangan ini adalah bukti jelas bahawa UMNO masih kukuh dan bersedia untuk terus mendepani cabaran politik semasa dengan penuh keyakinan dan keteguhan prinsip.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen yang tinggi, kerjasama erat, dan semangat juang yang masih utuh dalam kalangan ahli-ahli akar umbi. Ia adalah bukti kukuh bahawa parti ini akan terus mara ke hadapan,” katanya kepada UMNO Online.
UMNO, jelas beliau, bukan sahaja parti politik yang memiliki sejarah panjang dalam perjuangan bangsa dan negara, tetapi juga sebuah organisasi yang tersusun dan beretika, malah sebati dengan khidmat bakti kepada rakyat.
“UMNO adalah parti yang mempunyai organisasi yang mantap, melaksanakan etika dalam setiap masa, memiliki Perlembagaan parti yang menjadi panduan perjuangan, dan sentiasa menjunjung Perlembagaan negara sebagai asas kedaulatan dan kestabilan.
“Sebagaimana di Bahagian Putrajaya, musim persidangan kali ini menyaksikan perwakilan dari semua peringkat Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan disiplin organisasi yang tinggi.
“Persidangan yang berjalan lancar ini memperlihatkan tahap kesiapsiagaan akar umbi untuk memperkukuh dan memperbaharui kekuatan parti selain tekad untuk terus memperjuangkan rakyat.”
Tambah Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, penglibatan dan penyertaan aktif anggota akar umbi dalam setiap persidangan mencerminkan kepercayaan serta harapan ahli terhadap masa depan UMNO.
“Perbincangan dan usul yang dikemukakan jelas menunjukkan kematangan politik serta keprihatinan terhadap nasib rakyat dan hala tuju negara untuk masa depan.
“Persidangan ini bukanlah sekadar acara tahunan atau untuk aturan perundangan sahaja, tetapi medan penting untuk kita mengukuhkan saf kepimpinan, menyelaras gerak kerja dan menyalurkan suara akar umbi. UMNO tidak pernah lari dari mendengar dan berubah demi kebaikan bersama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan yang menjayakan musim persidangan tahun ini, sambil menyeru agar semangat dan momentum ini diteruskan ke peringkat bahagian yang akan bermula Jun ini.
“Kita telah buktikan bahawa semangat perjuangan UMNO tidak pernah pudar. Dengan iltizam, disiplin organisasi dan solidariti yang tinggi, saya yakin UMNO akan kembali kukuh,” ujarnya lagi.
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dijadualkan bermula 9 Jun hingga 27 Julai 2025 dan menyusul seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online