Johor Sasar 12 Juta Pelancong Sempena Tahun Melawat Johor 2026
JOHOR BAHRU, 28 Mei – Kerajaan Negeri Johor komited untuk memperkukuh sektor pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Johor 2026, dengan sasaran menarik 12 juta pelancong ke negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15 berkata, pelbagai langkah strategik telah dirangka untuk memastikan kejayaan kempen pelancongan itu.
“Johor sememangnya dianugerahkan dengan pelbagai khazanah alam semula jadi dan destinasi pelancongan yang berpotensi tinggi, daripada pantai yang indah hingga ke hutan tropika yang subur. Semua ini perlu dipelihara dan dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui terdapat pelbagai pandangan dan kritikan daripada rakyat, khususnya di media sosial, mengenai kualiti produk pelancongan yang masih belum mencapai tahap memuaskan.
“Kritikan ini kami terima dengan hati terbuka dan dijadikan pemangkin untuk memperbaiki serta memperkukuh sektor pelancongan negeri,” tambahnya.
Jelasnya, dua strategi utama telah dirangka sebagai tonggak utama Tahun Melawat Johor 2026:
1. Menaik taraf infrastruktur pelancongan, termasuk kemudahan awam, aksesibiliti, dan pemuliharaan tapak warisan.
2. Melaksanakan promosi secara agresif terhadap produk pelancongan melalui kempen pemasaran digital, penganjuran acara bertaraf antarabangsa, serta kerjasama dengan agensi pelancongan domestik dan antarabangsa.
Dalam usaha memperkukuh pelaksanaan inisiatif ini, Kerajaan Negeri juga telah mengkorporatkan Tourism Johor dengan menubuhkan Majestic Johor Tourism (MJT) Sdn. Bhd., sebuah agensi pelaksana utama yang berstruktur korporat.
“MJT akan melantik golongan profesional dalam sektor pelancongan bagi memasarkan Johor di peringkat global melalui pendekatan digital, kerjasama industri dan penganjuran acara bertaraf antarabangsa,” jelas Onn Hafiz lagi. – UMNO Online