JKMR Pastikan SPRM Kekal Telus, Kredibiliti – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berperanan sebagai semak imbang terhadap profesionalisme Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi JKMR Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pihaknya tidak mencampuri urusan operasi SPRM tetapi untuk memastikan SPRM menjalankan mandatnya dengan penuh ketelusan dan kebebasan mutlak daripada sebarang tekanan atau campur tangan.

“Sebagai Pengerusi, saya sedar bahawa amanah ini amat besar dalam menjadi jambatan antara suara rakyat, institusi Parlimen dan agenda nasional dalam memerangi rasuah hingga ke akar umbi,” katanya.

Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pertama JKMR di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki juga turut memberikan taklimat ringkas mengenai peranan dan fungsi SPRM kepada ahli JKMR untuk sesi ini.

Mohd Shahar dalam pada itu turut sama
menyeru semua ahli JKMR untuk bersama menggalas tanggungjawab ini dengan iltizam dan integriti yang tinggi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79