Program Santai Anak Muda UMNO Beaufort Perkukuh Ikatan Dalam Masyarakat

BEAUFORT, 27 Mei – Program santai bersama anak muda anjuran Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Beaufort telah berlangsung meriah di Gelanggang Bola Tampar Kampung Tempurung, dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama UMNO Sabah serta sokongan padu daripada masyarakat setempat.

Ketua Bahagiannya, Datuk Awang Aslee Lakat memaklumkan bahawa program ini berlangsung dalam suasana penuh mesra dan santai, dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan belia.

Ujarnya, peranan anak muda amat penting dalam membentuk masa depan politik negara serta menyeru golongan belia tempatan agar terus bersemangat dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Bendahari UMNO Sabah merangkap Ketua Kaukus Kawasan Tumpuan dan Operasi Pilihan Raya yang juga ADUN Usukan, Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Said, yang memberikan suntikan semangat kepada golongan muda dalam usaha memperkukuh sokongan terhadap UMNO di peringkat akar umbi.

“Program ini membuktikan komitmen UMNO Bahagian Beaufort dalam mendengar suara anak muda serta memastikan parti kekal relevan dan dekat di hati rakyat.”

Awang Aslee turut menzahirkan penghargaan atas sambutan yang diberikan oleh belia dan masyarakat setempat.

Jelasnya, program ini merupakan inisiatif berterusan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Beaufort untuk mendekati golongan muda di kawasan Beaufort, Kuala Penyu dan Menumbuk.

“Inisiatif seperti ini adalah langkah penting dalam memastikan UMNO kekal relevan di hati rakyat, terutama dalam kalangan anak muda yang merupakan pemimpin masa depan negara.

“Program sebegini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah menjadi pemangkin kepada semangat perpaduan dan jati diri dalam kalangan generasi muda yang mencintai tanah air dan mahu melihat kemajuan dalam komuniti mereka,” katanya lagi.

Pelbagai aktiviti santai dan perbincangan mesra bersama pemimpin diadakan bagi memahami aspirasi anak muda serta membina jalinan yang lebih erat antara parti dan generasi muda.

Antara pemimpin lain yang turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Ir. Aziz Zulkarnain; Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Muslimin; dan Datuk Fadhilah Sabri mewakili War Room negeri. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79