Persidangan ASEAN: Malaysia-GCC Lancar Rundingan Rasmi FTA – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) telah melancarkan rundingan rasmi untuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada Isnin, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ujarnya, ia merupakan langkah strategik untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pertumbuhan inklusif.
“Malaysia dan GCC baru sahaja melancarkan rundingan rasmi untuk FTA. Ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan kita, serta membuka lebih banyak peluang untuk pertumbuhan inklusif demi kemakmuran bersama.
“Saya sendiri telah menandatangani Kenyataan Bersama pelancaran rundingan ini bersama TYT Jasem Mohamed Albudaiwi, Setiausaha Agung GCC, di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Kuala Lumpur,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan sentiasa berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur berkualiti.
“Perdagangan antara Malaysia dan GCC mencecah USD22.3 bilion (RM101.8 bilion) pada tahun 2024 dengan eksport utama termasuk produk elektrik dan elektronik (E&E), barang kemas, produk petroleum, minyak sawit, produk berasaskan minyak sawit serta makanan diproses.
“FTA ini dijangka akan meliputi pelbagai bidang seperti perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, fasilitasi perdagangan serta kerjasama ekonomi yang lebih luas.
“MITI sentiasa berusaha untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara sebagai kuasa perdagangan yang berdaya saing di peringkat global,” katanya lagi.
Untuk rekod, Sidang Kemuncak ASEAN telah bermula pada 23 Mei 2025 dan akan melabuhkan tirainya pada 28 Mei 2025.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan utama dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa, termasuk melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China.
Sidang ini memberi tumpuan kepada pengukuhan Komuniti ASEAN, memperluaskan hubungan dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), serta membina kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC dan China.
Penganjuran ini dijangka membawa impak besar kepada ekonomi Malaysia dan rantau ASEAN, termasuk peningkatan perdagangan, pelaburan, dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – UMNO Online