Kerajaan Negeri Johor Komited Bangun Komuniti Mampan Melalui RMMJ – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 27 Mei – Sebanyak 282 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Jenis C di Taman Pulai Mutiara 2, Fasa A13, Mukim Pulai, telah selesai diundi dalam satu majlis undian terbuka yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, pagi ini.

Mohd Jafni memaklumkan bahawa projek ini telah mencapai lima peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 November 2027.

Jelasnya, projek perumahan ini menawarkan pangsapuri 12 tingkat dengan keluasan 1,000 kaki persegi pada harga mampu milik RM150,000 seunit yang direka dengan persekitaran kediaman yang moden, selesa dan tersusun, projek ini mensasarkan keluarga muda serta golongan B40 dan M40.

“Jumlah permohonan yang diterima sangat memberangsangkan dengan 1,914 permohonan secara keseluruhan. Ini membuktikan permintaan terhadap perumahan mampu milik di Johor terus tinggi dan menjadi keutamaan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemaju projek, Amber Land Berhad, serta semua agensi teknikal dan rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan proses undian ini.

Ujarnya, usaha ini selari dengan sasaran Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk membina 30,000 unit RMMJ menjelang tahun 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030.

Dalamhal ini, beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan sindiket atau individu yang menjanjikan kelulusan pembelian rumah mampu milik dengan bayaran tertentu.

“Kerajaan Negeri tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk mengutip wang bagi mendapatkan kelulusan RMMJ. Semua proses dijalankan secara telus dan adil. Sekiranya terdapat pihak mencurigakan, rakyat diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, projek ini merupakan sebahagian daripada agenda Maju Johor yang bukan sekadar membina rumah, tetapi membina komuniti mampan demi masa depan Johor yang lebih gemilang.

Turut hadir dalam majlis undian ialah ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan kepimpinan tertinggi pemaju serta agensi-agensi terlibat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79