Bekalan Air UMS: Perlu Tindakan Segera Demi Kebajikan Mahasiswa

KOTA KINABALU, 26 Mei – Puteri UMNO Sabah menyuarakan kekesalan mendalam terhadap isu gangguan bekalan air yang berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang telah menjejaskan urusan mahasiswa lebih-lebih lagi menjelang musim peperiksaan Jun dan Julai ini.

Ketua Penerangannya, Zairani Awang berkata gangguan bekalan air ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan harian pelajar tetapi turut memberi kesan negatif kepada kesihatan mental mereka.

“Tekanan akibat persediaan peperiksaan ditambah dengan kekurangan keperluan asas seperti air bersih boleh meningkatkan risiko kemurungan dalam kalangan pelajar.

“Keadaan ini lebih membimbangkan bagi pelajar wanita yang mempunyai keperluan kebersihan diri yang lebih teliti,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut kata Zairani walaupun pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah mengambil langkah-langkah pembaikan, termasuk penggantian penunjuk aras dalam tempoh tiga minggu, masalah ini masih belum diselesaikan sepenuhnya.

“Laporan menunjukkan bahawa gangguan bekalan air berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kerosakan penunjuk aras di takungan utama universiti, R13, serta insiden kecurian air di kawasan setinggan berhampiran kampus.

“UMS telah berusaha menyediakan alternatif seperti tangki air statik dan telaga tiub untuk mengurangkan impak gangguan bekalan air . Namun, usaha ini belum mencukupi untuk menampung keperluan harian lebih 20,000 warga kampus, termasuk 16,000 pelajar,” ujar beliau.

Beliau seterusnya menyeru agar pihak berkuasa, termasuk Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin oleh GRS untuk menggunakan sepenuhnya kekuatan dan kemampuan yang ada melalui JANS, mengambil tindakan segera dan berkesan untuk menyelesaikan isu ini.

“Kebajikan dan keselesaan mahasiswa harus menjadi keutamaan, terutama dalam memastikan mereka dapat menghadapi peperiksaan dalam keadaan yang kondusif dan sihat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79