Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 Bantu Peranan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dikembalikan oleh Kerajaan Madani setelah dimansuhkan pada tahun 1992 dilihat dapat membantu Malaysia menjalankan peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa beliau telah hadir ke sesi Libat Urus antara Pemimpin negara-negara anggota ASEAN dengan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) pada Isnin.

“Berkesempatan hadir sama dalam sesi Libat Urus antara Pemimpin negara-negara anggota ASEAN dengan AIPA yang merupakan sebahagian daripada agenda Sidang Kemuncak ASEAN ke- 46 bermula pada hari ini.

“Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan peranan AIPA dalam menjayakan aspirasi dan menyatukan suara rakyat di rantau ini melalui institusi Parlimen yang berkesan berdasarkan tiga tonggak utama kerjasama ASEAN.

“Selain itu, antara perkara terpenting dalam memastikan agenda dan komitmen AIPA terutama dalam hal-hal terkait dengan perkembangan isu semasa global hanya akan dapat direalisasikan melalui penyelarasan dasar serta perundangan di peringkat negara anggota serta serantau,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, kejayaan Kerajaan Madani mengembalikan akta tersebut membantu Malaysia menjalankan peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Alhamdulillah, dalam hal pemerkasaan institusi parlimen dan perundangan ini, Kerajaan MADANI telah mengorak langkah yang sangat berani dan proaktif apabila mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 setelah 33 tahun ianya dimansuhkan pada 1992.

“Kejayaan ini saya kira akan membantu Malaysia untuk menjalankan peranan sebagai Pengerusi bagi ASEAN 2025 yang efektif terutama dalam memperkasakan AIPA,” katanya.

Untuk rekod, Sidang Kemuncak ASEAN telah bermula pada 23 Mei 2025 dan akan melabuhkan tirainya pada 28 Mei 2025.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan utama dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa, termasuk melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China.

Sidang ini memberi tumpuan kepada pengukuhan Komuniti ASEAN, memperluaskan hubungan dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), serta membina kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC dan China.

Penganjuran ini dijangka membawa impak besar kepada ekonomi Malaysia dan rantau ASEAN, termasuk peningkatan perdagangan, pelaburan, dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79