Kestabilan Negara Kunci Tarik Sokongan Rakyat – Dr Azizuddin

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan Barisan Nasional (BN) berpotensi untuk kembali menjadi parti dominan namun memerlukan strategi tertentu dalam mencapai perkara tersebut.

Menurut beliau ia termasuk menempuhi pilihan raya melalui kerjasama dengan parti-parti lain dan memanfaatkan sentimen kestabilan negara sebagai kunci menarik sokongan rakyat.

“BN boleh bangkit tapi perlukan strategi dan bergerak sendiri tidak akan berjaya, harus dalam kerjasama.

“Kerajaan Perpaduan atau BN boleh menang, kita lihat Parti Liberal menang di Kanada, Parti Buruh menang di Australia dan PAP menang di Singapura semua main isu stabiliti kena pertahankan parti yang ada.

“Maksudnya Perpaduan juga harus mainkan isu sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum BN: ‘Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura Dan Australia’ di Auditorium Menara Dato Onn, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga bertindak sebagai moderator.

Panel terdiri daripada Felo Kanan ISEAS Singapore, Dr Norshahril Saat; Pengarah Projek Madani Research Centre, Amerul Muner Mohammad.

Mengulas lanjut kata beliau, sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pada masa kini juga pada keadaan baik namun perlu menangani sebaiknya isu membabitkan orang Melayu.

“Masa pilihan raya lepas sebenarnya ada tiga dominan tetapi sejak bentuknya Kerajaan Perpaduan jadi satu parti dominan balik sebenarnya tapi ada Perikatan Nasional (PN) yang dilihat hanya dominan dalam kawasan kerusi Melayu.

“Masalah Malaysia pada masa kini ialah dilema Melayu, bukan secara menyeluruh sebab dalam gabungan ini kalau kekal saya lihat untuk menang pada PRU akan datang itu ada cuma hendak selesaikan isu Melayu sama ada dapat sokongan Melayu atau tidak.

“Dalam tinjauan yang dilakukan di peringkat nasional memang sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan itu semakin baik tetapi ada banyak isu yang perlu ditangani menyebabkan ada dalam kalangan orang Melayu yang bimbang dan sangat emosional apabila bercakap tentang isu-isu berkaitan kaum, bangsa dan agama.

“Jadi perkara ini perlu dilihat bagaimana untuk diatasi,” ujar beliau.

Sementara itu Pengarah Madani Research Centre, Amerul Muner Mohammad menyifatkan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memikul tanggungjawab besar bukan sahaja dalam membentuk agenda serantau, bahkan menegaskan kepentingan nilai inklusif, keselamatan, kemampanan dan kesejahteraan rakyat ASEAN secara menyeluruh.

Katanya ia medan terbaik kepada Malaysia dalam mengambil peluang tersebut untuk membawa idea-idea komprehensif untuk memacu transformasi rantau.

“Sekarang kita adalah Pengerusi ASEAN. Bagaimana kita boleh mengambil peluang ini untuk kita menonjolkan diri.

“Kita sepatutnya giat bergerak dan bercakap tentang bagaimana Malaysia boleh membawa ASEAN ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini adalah peluang untuk kita mencipta gelombang perubahan dan kita bernasib baik kerana gelombang itu sudah ada, kita hanya perlu menyertainya dan terus maju,” ujar beliau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan hari ini diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula pada 26 dan 27 Mei.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79