‘Bukan Sekadar Serahan Dokumen Tetapi Bukti Komitmen Kerajaan Negeri’ – MB Johor

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan ketika negeri sedang melangkah ke hadapan dengan pelbagai agenda pembangunan dan pengukuhan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri tidak pernah dan tidak akan sesekali membiarkan keresahan rakyat berlarutan.

Menurut beliau pihaknya mendengar dan mengambil tindakan terhadap kebimbangan yang timbul berkaitan status tanah Kampung Melayu Majidee.

“Pelbagai langkah sedang dan akan terus dilaksanakan agar komuniti ini terus terbela dan tidak terpinggir dalam arus kemajuan.

“Justeru, Kerajaan Negeri menyeru agar isu ini tidak dipolitikkan atau diputar belit oleh mana-mana pihak. Kerajaan Negeri juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang cuba mencetuskan kegusaran rakyat, menggugat keharmonian, atau membakar sentimen perkauman.

“Marilah kita bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan negeri demi masa depan Bangsa Johor yang lebih gemilang. Semoga segala usaha ini menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri sentiasa peka dan tidak akan mengabaikan hak serta kepentingan rakyat. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu meluahkan kesyukuran apabila selesai menyempurnakan penyampaian Notis 5A Permohonan Memperbaharui Tempoh Pajakan Tanah kepada tujuh penduduk di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

Katanya langkah ini bukan sekadar penyerahan dokumen tetapi bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak dan kepentingan rakyat khususnya komuniti asal yang telah sekian lama menetap dan menyumbang kepada pembangunan kawasan ini.

“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa status pajakan bukanlah penafian hak milik.

“Sebaliknya, ia merupakan bentuk pemilikan yang sah di sisi undang-undang dan tetap menjamin kepentingan pemilik tanah. Setiap permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat akan dinilai dan dipertimbangkan secara telus dan adil,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79