UMNO Perlu Tetap Berada Dalam Kerajaan Pertahan Institusi Melayu, Islam – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 25 Mei – UMNO perlu tetap berada dalam kerajaan untuk terus mempertahankan dan membela institusi-institusi Melayu serta Islam, kata Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, kerjasama UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan adalah disebabkan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu melihat negara berada dalam keadaan sejahtera pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Isu berkawan dengan Dap ini… bukan kita masuk Dap pun. Tambahan pula di kawasan ini (Alor Setar) tiada pun Dap. Ia merupakan persepsi yang dilontarkan pihak lawan disebabkan 60 tahun persengketaan kita bersama Dap.

“Kita tidak ada pilihan untuk bekerjasama. Pertama, soal titah Agong yang kita kena junjung. Sebab itu adalah ‘pasak’ Perlembagaan kita. Kita juga tidak ada pilihan daripada segi politik. Kalau kita nak terus memartabatkan orang Melayu, kita perlu berada dalam kerajaan sebagai tunjangnya.

“Peristiwa 13 Mei berlaku disebabkan pembangkang, Dap dan Gerakan menang beberapa kerusi Parlimen… mereka berarak kemudian terjadi pergaduhan. Maka selepas itulah Tun Abdul Razak nampak bahawa negara ini ada masalah dengan kedudukan dan juga ras orang Melayu sebagai penduduk majoriti yang punya hak serta tuan kepada tanah ini,” katanya menerusi hantaran video di laman TikToknya.

Jelasnya, bekerjasama dengan mana-mana parti politik dari kaum lain sudah menjadi kebiasaan UMNO dalam landskap politik yang semakin berubah dan dinamik.

“Ketika era 60-an dan 70-an, parti chauvinis yang paling radikal pada waktu itu adalah Gerakan, bukan Dap. Gerakan menang di Pulau Pinang. Pada waktu itu mereka pembangkang tetapi berjaya mengalahkan MCA.

“Tetapi kerana mementingkan keselamatan negara, kita jemput semua parti pembangkang ini berkawan dengan BN. Sebab itu Pas ada dalam BN pada tahun 1974.

“Jadi, bekerjasama dengan Dap atau mana-mana parti daripada bangsa lain ini adalah kebiasaan dalam politik yang berubah dari semasa ke semasa. Bukan soal perjuangan mereka yang kita agungkan. Bukan kerana kedudukan yang kita pertahankan. Tetapi, kerana hari ini kita tetap nak memartabatkan orang Melayu sebab kita dah belajar melalui sejarah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketiadaan parti teras Melayu yang kuat ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 1.0 menyebabkan terdapat banyak isu berkaitan bangsa Melayu dan agama Islam tidak dapat ditangani.

“Apabila UMNO kalah pada 2018, PH 1.0 pada ketika itu ditunjangi oleh kerajaan yang Melayu tidak cukup terasnya. Tidak kuat. PPBM pada ketika itu menang berapa kerusi sahaja. Kerajaan pada ketika itu dikuasai oleh Dap. Itu baru betul kerajaan Dap. Kita tengok banyak isu yang gagal Tun Mahathir tangani.

“Sebab itulah UMNO bangkit dan akhirnya jatuh kerajaan 22 bulan. Maka dengan sebab itu UMNO mengambil pendekatan untuk menyatukan supaya orang Melayu ini tetap dapat dibela. Institusi-institusi orang Melayu seperti MARA tetap UMNO jaga. Institusi-institusi agama seperti Tabung Haji pun sama. Ini semua hasil daripada perjuangan UMNO.

“Kalau kita marah sebab kerjasama dengan Dap kerana ego, dan rasa tak layak adakan kerjasama, apa nasib institusi-institusi Melayu dan agama kita kalau UMNO tidak pertahankan? Maka dengan sebab itulah kita kena tetap berada dalam kerajaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79