Isu Myanmar Dan Gaza Jadi Tumpuan Mesyuarat ASEAN Hari Ini

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Menteri-menteri Luar ASEAN berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan pada Sabtu dengan usaha mencari penyelesaian damai dan inklusif bagi krisis Myanmar menjadi tumpuan utama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, para menteri bersetuju untuk terus berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar bagi mencapai penyelesaian jangka panjang yang berdaya maju terhadap krisis berlarutan di negara itu.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, kami merancang untuk mengadakan lawatan dan perbincangan secara langsung dengan kerajaan Myanmar, setelah sebelum ini mengadakan pertemuan dengan pelbagai kumpulan dan pihak berkepentingan,” katanya kepada media selepas menghadiri Konsultasi Tidak Rasmi mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang disertai Pengerusi ASEAN terdahulu, semasa dan akan datang – Laos, Malaysia dan Filipina.

Konsultasi tidak rasmi itu diikuti dengan Konsultasi Lanjutan mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara bersama menteri-menteri luar negara anggota ASEAN lain.

Krisis Myanmar tercetus susulan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi, yang dipilih secara demokratik. Susulan itu, ASEAN mengambil keputusan mengecualikan pemimpin kerajaan Myanmar daripada menyertai sidang kemuncak dan mesyuarat menteri sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, pegawai kanan Myanmar masih dibenarkan menyertai mesyuarat persediaan. Delegasi Myanmar ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 kali ini diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Aung Kyaw Moe.

ASEAN telah meluluskan Konsensus Lima Perkara pada 2021 untuk menangani krisis Myanmar, meliputi penghentian segera keganasan, dialog inklusif antara semua pihak, pelantikan utusan khas, bantuan kemanusiaan dan lawatan utusan khas ke Myanmar.

Dalam perkembangan berkaitan, para menteri turut memuji peranan proaktif Malaysia dalam menangani krisis Myanmar dan menghidupkan semula pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique A. Manalo menyatakan kedua-dua sesi konsultasi yang berlangsung hari ini berjalan dengan lancar dan konstruktif.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi Hal Ehwal Politik dan Rundingan, Dr Abdel Aziz Hamad Aluwaisheg, turut mengecam sekatan berterusan rejim Zionis terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza, menyifatkannya sebagai “jenayah perang”.

GCC yang ditubuhkan pada 1981 dianggotai Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan matlamat memperkukuh kerjasama politik dan ekonomi dalam kalangan negara Teluk.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”. Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Selain mesyuarat dalaman ASEAN, sidang kali ini turut melibatkan dua platform antara rantau penting – Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China – yang mencerminkan pengukuhan hubungan antara Asia Tenggara dan rakan strategiknya dari negara-negara Teluk serta China.

Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan global yang mendesak, dengan krisis Myanmar kekal sebagai keprihatinan utama negara anggota. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79