BN Terbuka Bincang Kerusi Sabah – Ahmad Zahid
MELAKA, 25 Mei – Barisan Nasional (BN) mempraktikkan keterbukaan untuk berunding mengenai pembahagian kerusi dengan mana-mana parti di Sabah bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini perbincangan awal antara BN dan PH mengenai pengagihan kerusi telah bermula namun sebarang keputusan akan dimuktamadkan selepas pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Menurutnya, juga akan berunding dengan beberapa parti tempatan bagi mengelakkan pertindihan kerusi berlaku di dalam PRN ke-17 ini sekali gus memastikan pembahagian lebih adil dan saksama.
Katanya, rundingan itu termasuk membincangkan 14 kerusi yang pernah BN menangi sebelum ini walaupun kerusi itu kini telah melompat parti.
“Kita tetap anggap kerusi itu sebagai kerusi BN. Kita juga sedang meneliti kebolehmenangan kerusi dalam kategori ‘tier dua.
“Kita memang hormati kerjasama antara BN dan PH, PH telah kenal pasti kerusi yang ingin ditandingi dan setelah BN selesai mengenal pasti kerusi-kerusi, barulah rundingan bersama akan dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Dakwah DMDI dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Kampung Tersusun DMDI Bukit Senggeh, Selandar di sini, pada Ahad. Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden baharu PKR, Nurul Izzah Anwar yang menyatakan hasrat untuk menuntut 13 kerusi di Sabah, yang menurut Zahid merupakan perkara biasa dalam perbincangan dalaman gabungan PH.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengulangi bahawa pihaknya sememangnya terbuka untuk berunding dengan sesiapa sahaja termasuk rakan-rakan komponen PH dan beberapa parti tempatan di Sabah.
“Penting bagi memastikan penyusunan strategi yang mantap dan pengagihan kerusi yang adil antara parti.
“Ini demi memastikan kemenangan gabungan dalam PRN akan datang,” katanya lagi.