UMNO Tak Tamak Rebut Jawatan Menteri Dikosongkan PKR, Tegas Ahmad Zahid
KUANTAN, 24 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak tamak untuk mengisi jawatan menteri jika berlaku kekosongan susulan dua menteri daripada PKR tewas pemilihan semalam.
Timbalan Perdana Menteri berkata, semuanya terserah kepada PKR kerana UMNO tidak mahu campur tangan dan mengetahui batas.
Namun, katanya, jika jawatan menteri itu mahu diberikan kepada UMNO, parti berkenaan menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Kalau jawatan itu mahu diberikan kepada UMNO, kita menadahkan sebuah padang bola untuk menerima tawaran itu tetapi itu kuota (PKR).
“Jadi, saya tidak fikir UMNO begitu tamak untuk memohon jawatan itu diberikan kepada UMNO. Kita bersyukur kerana ada tujuh menteri UMNO berada dalam barisan jemaah menteri.
“Saya tidak seharusnya campur di dalam urusan parti lain dan tentunya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan sesuatu yang terbaik agar kerajaan yang sedia ada dan anggota jemaah menteri dapat bergerak terus seiring sejalan untuk menentukan pengukuhan kerajaan madani ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Eastern International TVET di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada pemilihan PKR semalam, dua menteri, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad tewas.
Baru-baru ini, Rafizi mengumumkan sedia meletak jawatan sebagai menteri jika tewas pada pemilihan Timbalan Presiden PKR.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada Nurul Izzah Anwar yang memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR bersama empat Naib Presiden PKR, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Ketua Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dipilih.
“Semoga ia dapat mempereratkan jalinan hubungan antara PKR dengan UMNO melalui Barisan Nasional (BN),” katanya.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis perasmian Eastern International TVET, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Wan Rosdy sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Usahawan. – BH Online