Pelajar 10A SPM Layak Terima Biasiswa Penuh Ke UniKL, UPTM – Ahmad Zahid
KUANTAN,24 Mei – Pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A layak menerima biasiswa penuh bagi menyambung pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Mara (UPTM).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan pelajar cemerlang diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian tanpa beban kewangan.
“Insya-Allah, jika pelajar itu memperoleh 10A, saya boleh jamin permohonan mereka akan diterima secara automatik untuk masuk ke UniKL dan UPTM.
“Malah, saya telah arahkan perkara ini kepada Ketua Pengarah dan ia juga telah dipersetujui oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara). Mana-mana pelajar yang mendapat 10A akan diberikan biasiswa penuh untuk menyambung pengajian di UniKL dan UPTM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; serta barisan Exco kerajaan negeri.
Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa pelajar yang memperoleh keputusan sederhana tidak akan dipinggirkan, sebaliknya turut diberikan peluang pendidikan melalui laluan alternatif.
“Bagaimana pula dengan yang hanya mendapat tiga kredit? Adakah mereka tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran?
“Jangan risau, kita ada TVET. Kita akan salurkan lepasan SPM ini ke seluruh 1,399 institusi TVET di seluruh negara,” jelas beliau.
Menurutnya, permohonan untuk kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah dibuka bermula 15 April bagi pengambilan sesi Julai.
“Biarpun baru dibuka, saya amat bersyukur kepada ALLAH kerana permohonan sudah melonjak kepada 126,000,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Mara melalui Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan terus memainkan peranan sebagai institusi yang menjaga kebajikan pendidikan anak muda, termasuk mereka yang kurang cemerlang dalam akademik.
“Untuk mereka yang mempunyai kelulusan rendah pun, melalui YPM, kita akan usahakan tempat di institusi TVET dan kolej-kolej di bawah institusi pendidikan Mara.
“Insya-Allah, Mara adalah pembela kepada nasib generasi muda yang tidak mendapat peluang untuk cemerlang dalam bidang akademik,” katanya. – SH Online