Malaysia Kekal Komited Terhadap Kepelbagaian, Kesamarataan, Keterangkuman Pendidikan Tinggi – Dr Zambry
PUTRAJAYA,24 Mei – Malaysia mengulangi semula komitmennya untuk memastikan pendidikan tinggi mewujudkan persekitaran yang membolehkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang belajar bersama-sama dan saling berkongsi ilmu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata universiti di Malaysia mencerminkan komitmen itu melalui dasar serta kerjasama yang mengutamakan akses, kolaborasi dan saling menghormati, iaitu nilai yang menjadi panduan dalam membuat keputusan serta membina masa depan yang mahu dicapai.
“Komuniti pendidikan tinggi global bimbang mengenai pengurangan usaha ke arah kepelbagaian, kesamarataan dan keterangkuman di Amerika Syarikat (AS).
“Perubahan ini menjejaskan prinsip asas yang selama ini membolehkan universiti membina kepercayaan merentasi sempadan dan mewujudkan peluang untuk perkembangan ilmu secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dilaporkan menyekat Harvard untuk menerima pelajar asing, sekali gus mencetuskan pertikaian dengan universiti tertua di AS itu.
Zambry berkata, keputusan berkenaan mencerminkan satu trend yang semakin berleluasa.
“Walaupun kes ini bersifat semasa dan biasa, ia memberi isyarat semakin berkurangnya nilai keterbukaan dan keterangkuman dalam pendidikan tinggi,” katanya.
Tegasnya, Malaysia akan terus menyokong pendidikan yang menyeluruh dan menyokong institusi serta komuniti yang terkesan akibat langkah sekatan itu.
“Kami kekal komited kepada prinsip pendidikan yang memberikan manfaat dan dapat dinikmati semua,” katanya. – BH Online