Malaysia Akan Wujudkan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR,24 Mei – Malaysia bakal mewujudkan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN yang pertama di ibu negara untuk memastikan potensi dan peluang dalam blok serantau itu dapat diakses semua termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) belia serta wanita.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif itu selaras tema Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.

“Secara ringkas, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kita juga meletakkan pertumbuhan inklusif di tengah-tengah dasar Asia Tenggara,” katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025 yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN di sini hari ini.

Selain AWES, ASEAN turut menyokong usahawan wanita dan belia di seluruh rantau melalui platform seperti Rangkaian Usahawan Wanita (AWEN), Majlis Usahawan Muda (AYEC), Program Pembangunan Perusahaan Sosial (ASEAN SEDP) dan Pertubuhan Belia ASEAN (AYO).

“Sudah tentu cabaran dihadapi setiap negara anggota berbeza, namun kita perlu berusaha dan memastikan penyelesaian yang merangkumi seluruh rantau walaupun ia akan mengambil masa,” katanya menambah di sinilah peranan AWES boleh diperkukuh.

Beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menantikan hasil daripada AWES.

Tengku Zafrul berkata antara maklum balas ditunggu-tunggu ialah pencapaian segera untuk mewujudkan piawaian dan dasar ASEAN yang merangkumi jantina serta akses kepada kewangan.

“Sekiranya kita mewujudkan dana AS$1 bilion untuk ASEAN, bagaimana ia ditadbir untuk memastikan kesan menyeluruh, telus dan dapat diakses oleh perniagaan diterajui wanita.

“Bagaimana kita meningkatkan kemahiran secara digital, katakan sebanyak satu juta wanita di seluruh rantau menjelang 2027.

“Banyak kerja menanti kita. Satu sidang kemuncak sahaja tidak akan menyelesaikan cabaran yang dihadapi wanita, tetapi AWES menyumbang kepada usaha berharga yang diperjuangkan selama beberapa dekad,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79