UMNO Sentiasa Menyantuni Masyarakat, Tak Banyak Alasan Untuk Membantu – Husna

PUTRAJAYA, 23 Mei – Semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat terus menjadi keutamaan UMNO dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya, Husna Abdul Rahaman menegaskan bahawa UMNO tidak pernah menjadikan sebarang alasan untuk tidak membantu rakyat, malah sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan.

Menurut beliau, UMNO Putrajaya melalui Biro Kebajikan terus komited dalam menjalankan pelbagai program berbentuk kebajikan dan bantuan kepada penduduk setempat termasuklan meneruskan program Ziarah Kasih.

“Program ini adalah hasil inisiatif Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melalui Biro Kebajikan parti di sini sebagai manifestasi keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan memerlukan, dengan menyantuni mereka melalui kunjungan mesra dan sumbangan bantuan,” ujarnya yang juga Pengerusi biro terbabit kepada UMNO Online.

Beliau memaklumkan dalam program terbaharu semalam, anggota biro telah mengakan kunjungan ke kediaman salah seorang penduduk di sini yang memerlukan bantuan peralatan kesihatan.

“Dalam kunjungan tersebut, sumbangan sebuah kerusi roda telah disampaikan kepada Pak Cik Ismail bagi pihak Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan. Sumbangan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh beliau dan memudahkan pergerakan hariannya.”

Ujarnya, bantuan seperti ini mungkin kelihatan kecil, namun impaknya amat besar kepada mereka yang memerlukan.

“UMNO tidak banyak alasan bila soal membantu rakyat. Kita buat apa yang termampu dan sentiasa berusaha berada dekat dengan masyarakat. Kami memahami kesusahan yang ditanggung dan akan terus komited membantu sedaya upaya.

“Program Ziarah Kasih ini merupakan antara inisiatif berterusan UMNO Putrajaya dalam mendekati rakyat dan memastikan tiada golongan terpinggir daripada mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menyeru lebih ramai pihak untuk bersama-sama berganding bahu meneruskan perjuangan parti dan memperkukuh semangat perpaduan serta prihatin terhadap masa hadapan agama, bangsa dan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79