TechnoUsahawan: MARA Sasar Lebih Ramai Pelajar TVET Cebur Bidang Perniagaan

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan lebih ramai pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menceburi sektor keusahawanan.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, untuk itu MARA akan menyediakan dana pembiayaan, latihan, tunjuk ajar (mentoring) dan pemantauan menerusi program khas TechnoUsahawan.

“MARA sasar lebih ramai pelajar TVET ceburi sektor usahawan. Melalui program khas TechnoUsahawan, MARA akan sediakan dana pembiayaan, latihan, ‘mentoring’ dan pemantauan.

“Lima bidang yang akan diberikan penumpuan oleh MARA ialah automotif, tenaga solar, elektrik, perabut dan penghawa dingin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO memaklumkan bahawa para pelajar di institusi berkaitan telah mula dilatih mengenai aspek keusahawanan untuk menjayakan agenda tersebut.

“Melalui institusi-institusi TVET MARA seperti GiatMARA, Institut Kemahiran MARA dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, pelajar-pelajar telah mula dilatih aspek keusahawanan selain ilmu kemahiran yang berkaitan.

“Malah di Institut Kemahiran MARA (IKM) Alor Setar contohnya… penilaian dibuat terhadap pelatih bidang perabut adalah berasaskan jumlah jualan yang dicapai sebagai salah satu syarat untuk bergraduasi,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79