Sesi Pemukiman KEB Jadi Acara Tahunan – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA, 23 Mei – Sesi Pemukiman Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) akan dijadikan acara tahunan bagi melonjak semula agenda pembangunan bumiputera secara kolektif, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sesi tahunan itu turut membolehkan pembangunan bumiputera dapat dilaksanakan secara rentas kementerian, agensi dan sektor.
“Sudah tiba masanya untuk kita bergerak dengan keberanian, berpandukan intervensi strategik yang berasaskan data dan disandarkan kepada hasil sebenar.
“Sekarang adalah masa untuk membuktikan bahawa segala yang dirancang benar-benar dilaksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Pemukiman Setahun Selepas KEB 2024 di sini hari ini.
Justeru, selepas sesi pemukiman itu, beliau mahu setiap pemacu di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) mempunyai pelan komunikasi yang jelas, agresif dan konsisten.
“Rakyat berhak tahu berapa ramai usahawan bumiputera telah dilahirkan tahun ini, berapa ramai yang telah naik daripada mikro kepada perusahaan sederhana, berapa graduan TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) kini bergaji RM4,000 ke atas,” katanya.
Bagi memastikan gerak kerja PUTERA35 berjalan lancar, Ahmad Zahid mengarahkan semua Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) di setiap kementerian untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan pelan itu.
“Peranan ini akan diperkukuh oleh Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) yang mesti distruktur semula mengikut kesesuaian masa kini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau mahu semua pemacu PUTERA35 memberikan keutamaan penuh kepada 132 ikhtiar yang terkandung dalam pelan itu bagi membolehkan rakyat menyaksikan keberhasilan dan impak yang disasarkan.
“Sehingga kini, pelaksanaan program dan projek di bawah PUTERA35 telah mencapai lebih daripada 15 peratus,” katanya.
PUTERA35 dilancarkan pada 19 Ogos 2024 merupakan kerangka tindakan holistik untuk memperkukuh ekonomi bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Mengimbau penganjuran KEB 2024 pada Februari lepas, beliau berkata kongres selama tiga hari itu berjaya menghasilkan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan bumiputera pada era pendigitalan.
“Setahun empat bulan yang lepas, kita telah bermuzakarah dalam KEB 2024 yang penuh dengan harapan dan azam. Hari ini, kita berkumpul sekali lagi mengusahakan hasil yang insya-Allah setanding atau lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.
Mengenai permohonan TVET, beliau berkata Majlis TVET Negara telah mencatat permohonan melebihi 126,000 calon bagi sesi Julai 2025.
Menyifatkan angka itu sebagai perkembangan positif, beliau berkata TVET kini semakin menambat hati generasi muda yang mula yakin dengan laluan cerah bidang itu.
“Sebab apa saya tegaskan perkara ini, sebab bila kita bercakap tentang TVET, kita sebenarnya sedang membina masa depan anak bumiputera,” katanya. – BERNAMA