PRN Atau Tidak, Khidmat Kepada Rakyat Sentiasa Diteruskan – Awang Aslee

BEAUFORT, 23 Mei – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa tanggungjawab untuk memberikan khidmat kepada rakyat tidak pernah terhenti meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) belum diumumkan.

Menurut beliau, UMNO Beaufort sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan keperluan rakyat terus menjadi keutamaan tanpa mengira musim malah telah sebati dalam khidmat sejak bertahun-tahun lalu.

Terdahulu beliau telah menyantuni keluarga Sufian Shah di Kampung Jungkon Menumbok bagi persediaan majlis perkahwinan anaknya. Sumbangan terbabit disampaikan oleh Ketua PDM Melikai/Jungkun, Rahim Abd Hamid.

Awang Aslee berkata, program turun padang bersama masyarakat setempat di samping perancangan untuk kemajuan juga dilaksana termasuklah membabitkan perbincangan dengan Pegawai Kemas Beaufort, Halick Udeh.

“Kami tidak menunggu PRN untuk mula bekerja. Ini adalah prinsip kami di UMNO Beaufort kerana khidmat kepada rakyat adalah amanah yang perlu dilaksanakan sepanjang masa, bukan hanya semasa kempen pilihan raya,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau juga menegaskan bahawa budaya politik berasaskan perkhidmatan adalah pendekatan terbaik dalam memenangi hati rakyat.

“Kita peril ingat bahawa rakyat semakin bijak menilai, dan mereka mahu pemimpin yang konsisten dalam memberi perhatian terhadap isu-isu setempat, bukan yang hanya muncul semasa musim pilihan raya.

“Kita juga akan terus mendengar rintihan rakyat, sama ada berkaitan masalah infrastruktur, ekonomi mahupun kebajikan. Sebagai pemimpin tempatan, kita harus menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat,” tambah beliau.

Jelasnya, setiap program yang dilaksana termasuklah turun padang bukanlah acara individu sebaliknya disertai oleh anggota parti khususnya kepimpinan UMNO cawangan, pemimpin masyarakat dan wakil agensi yang terlibat.

“Ini adalah cerminan usaha bersepadu untuk memastikan suara rakyat di peringkat akar umbi sentiasa diambil kira.

“Apa yang pasti, usaha membantu rakyat bukanlah suatu retorik politik semata-mata, tetapi merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada masyarakat setempat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79