Mohd Zaidy Seru Belia Manfaatkan Peluang TVET, Bina Masa Hadapan Cemerlang
JEMPOL, 23 Mei – Anak muda khususnya golongan belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diseru agar tidak melepaskan peluang keemasan untuk membina masa hadapan yang lebih cerah yang ditawarkan kerajaan melalui bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata inisiatif oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara perlu disambut dan dijayakan untuk masa depan negara.
“Inisiatif ini adalah antara usaha murni yang prihatin terhadap masa depan belia di negara ini. Tidak semua pelajar cemerlang dalam bidang akademik, maka TVET adalah satu alternatif yang praktikal dan menjanjikan masa depan yang cerah.
“Ini juga adalah bukti jelas bahawa kerajaan komited dalam menyediakan peluang inklusif dan mampan kepada belia dari pelbagai latar belakang. Anak muda perlu merebut peluang ini untuk mengubah masa depan mereka,” ujar Mohd Zaidy kepada UMNO Online.
Terangnya, dengan kemahiran teknikal yang semakin menjadi keperluan asas dalam pelbagai sektor pekerjaan, TVET diyakini mampu membuka ruang luas kepada belia Malaysia untuk menjadi tenaga kerja yang kompetitif di peringkat nasional dan global.
Permohonan bagi Unit Pengambilan TVET Perdana (UP_TVET) Ambilan Julai masih dibuka sehingga 15 Jun 2025, justeru Mohd Zaidy menggesa anak-anak muda untuk mengambil peluang ini sebagai batu loncatan ke arah kerjaya yang berdaya saing dan sejajar dengan keperluan industri semasa.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zaidy juga menyokong usaha yang dilaksana oleh Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk memperluas perkhidmatan kesihatan kendaliannya menerusi cadangan penubuhan Hospital Mara dalam usaha memperkasakan penglibatan bumiputera dalam sektor perubatan dan keusahawanan profesional.
Ujarnya, ini adalah satu langkah strategik yang bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat, malah berperanan besar dalam memperkasakan penglibatan masyarakat bumiputera, khususnya golongan profesional Melayu dalam sektor perubatan dan keusahawanan kesihatan.
“Cadangan ini adalah satu pendekatan holistik yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak bumiputera untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang yang berimpak tinggi seperti perubatan dan pengurusan hospital.
“Ia juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan tempatan yang berwibawa serta usahawan profesional dalam sektor kesihatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.”
Mohd Zaidy menegaskan bahawa inisiatif ini adalah bukti nyata keseriusan para pemimpin dalam memastikan golongan Melayu dan bumiputera tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
“Malah, ini juga mencerminkan usaha berterusan pihak berkepentingan dalam memperkukuh kedudukan ekonomi dan sosial bumiputera melalui penyediaan platform yang inklusif, progresif dan mampan,” katanya lagi. – UMNO Online