Mohd Jafni Seru Semua Pihak Berpadu Tenaga Demi Masa Depan Johor

ISKANDAR PUTERI, 23 Mei – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyeru agar semua pihak, tanpa mengira latar belakang politik, daerah atau fahaman, bersatu tenaga demi membina masa depan Johor yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.

Dalam ucapan penggulungan sempena Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh DYAM Pemangku Sultan Johor di Sidang Dewan Undangan Negeri Johor, beliau menegaskan bahawa kejayaan agenda MAJU JOHOR memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan rakyat akar umbi.

“Dengan semangat Bangsa Johor, saya menyeru agar kita semua terus berpadu tenaga, tanpa mengira latar politik mahupun daerah, untuk menjadikan agenda Maju Johor ini sebagai realiti yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat iaitu dari desa ke bandar, dari generasi hari ini kepada generasi akan datang,” tegasnya.

Dalam aspek perumahan, Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai menekankan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan perumahan yang berkualiti dan mampu milik melalui pendekatan tanggungjawab bersama antara kerajaan, pemaju dan agensi tempatan.

“Kerajaan Negeri kekal komited untuk merealisasikan sasaran 100,000 unit Rumah Mampu Milik menjelang tahun 2030, menerusi kerjasama erat antara PBT, Pejabat Daerah, EXCO Angkat serta pemaju-pemaju yang bertanggungjawab dan berintegriti.

“Bagi memastikan keperluan perumahan rakyat dipenuhi secara menyeluruh, khususnya di kawasan luar bandar, Kerajaan Negeri Johor telah merangka inisiatif penyediaan unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) secara bersasar mengikut keperluan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bagi kawasan DUN yang mencatatkan jumlah kurang daripada 20 unit RMMJ, Kerajaan Negeri akan menyediakan sebanyak 20 unit tambahan bagi menampung kekurangan sedia ada. Inisiatif ini melibatkan 14 DUN, iaitu, Sri Medan, Pasir Raja, Yong Peng, Pemanis, Sedili, Johor Lama, Kempas, Pekan Nenas, Bekok, Kahang, Stulang, Simpang Jeram, Bentayan dan Endau.”

Jelasnya, bagi kawasan DUN yang telah mempunyai lebih daripada 21 unit RMMJ, Kerajaan Negeri akan menyediakan tambahan 5 unit sebagai pelengkap perancangan pembangunan, melibatkan 42 DUN di seluruh negeri.

Menjawab kebimbangan ADUN-ADUN terhadap isu banjir, Mohd Jafni menegaskan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius cabaran ini yang memberi kesan langsung kepada keselamatan, ekonomi dan keyakinan rakyat.

Beliau memaklumkan bahawa pendekatan kerajaan kini melangkaui reaksi bermusim, sebaliknya melibatkan:
• Penyelenggaraan berkala seperti pembersihan parit, penggalian dasar mendap, dan pemotongan rumput.
• Projek tebatan banjir berskala tempatan seperti rumah pam, kolam takungan sementara, dan penaiktarafan sistem saliran.
• Penubuhan Jawatankuasa Teknikal Bersepadu yang menggabungkan agensi teknikal seperti JPS, JKR, PLANMalaysia dan PBT.
• Penggerakan Taskforce Khas Banjir yang dipimpin sendiri oleh beliau untuk kawasan MBJB dan MBIP, dengan penglibatan terus ADUN dan agensi teknikal.

“Isu banjir bukan isu bermusim, tetapi cabaran struktur yang memerlukan tindakan menyeluruh, kerjasama teknikal, dan penglibatan semua pihak termasuk komuniti setempat,” ujarnya.

Beliau juga menekankan bahawa pentadbiran negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bukan sekadar mengejar angka dan sasaran, tetapi menjadikan keberkesanan dan kesan nyata kepada rakyat sebagai keutamaan.

Beliau memberi jaminan bahawa semua dasar dan program akan dilaksanakan secara berpandu data, menyeluruh, dan sentiasa berpijak pada keperluan sebenar rakyat.

Mengakhiri ucapan, Mohd Jafni menegaskan bahawa menjunjung titah Tuanku bukanlah sekadar ritual dewan, tetapi satu ikrar amanah untuk bekerja demi rakyat.

“Titah Tuanku telah memberikan panduan yang amat jelas kepada seluruh jentera pentadbiran negeri bahawa kemajuan Johor mesti bersandarkan kepada keadilan sosial, kecekapan tadbir urus dan keberanian membuat perubahan.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79